‘PAS boleh menang di kubu kuat, tetapi bukan di seluruh negara’ - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

‘PAS boleh menang di kubu kuat, tetapi bukan di seluruh negara’



PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik meramalkan PAS tidak dapat memenangi lebih banyak kerusi di seluruh negara berbanding kerusi bermajoriti Melayu yang dimenanginya selama ini, khasnya di Kelantan dan Terengganu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, kubu kuat parti Islam itu berada di pantai timur, di mana lebih 80% daripada pengundinya terdiri daripada orang Melayu.
Oleh itu, sukar untuk parti itu menjangkau pengundi di negeri lain yang mempunyai pengundi berbilang kaum.

“Bagi PAS, kekuatan akar umbinya terletak kepada orang Melayu di utara dan bahagian timur utara Semenanjung Malaysia, khasnya di kawasan luar bandar.

“Parti itu memaparkan cara Islam untuk menarik perhatian orang Melayu di kawasan berkenaan. Ini permainan mereka sejak permulaan, jadi sukar untuk mereka bertanding di peringkat nasional,” katanya kepada FMT.

PAS memerintah Kelantan mulai 1959 hingga 1977 dan sejak 1990 sehingga kini, manakala Terengganu pula dari 1959 hingga 1962 dan 1999 hingga 2004.

Ia turut mengetuai kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Kedah dari 2008 hingga 2013.
Ketika pilihan raya umum lalu pada Mei 2013, parti itu berjaya memenangi kerusi Parlimen di 6 negeri. Ia memenangi 9 kerusi di Kelantan, masing-masing 4 di Terengganu dan Selangor, 2 di Perak dan masing-masing 1 di Kedah serta Pahang.

Fauzi berkata, untuk berjaya di peringkat nasional, sesebuah parti politik itu perlu mengambil kira kepentingan masyarakat majmuk di Malaysia.

Katanya, mana-mana parti yang berhasrat memerintah di peringkat persekutuan, bukan hanya di peringkat negeri, perlu menjadi sebahagian daripada sebuah gabungan yang mewakili pengundi berbilang kaum.

“Jika anda tidak berada dalam gabungan yang terdiri daripada orang berbilang kaum, maka anda perlu mengehadkan diri kepada kubu kuat anda. Kejayaan pilihan raya tidak boleh dicapai secara bersendirian.
“Jika PAS hendak memperluaskan pengaruhnya melangkaui orang Melayu, maka beberapa bentuk perjanjian politik perlu dicapai,” katanya.
Fauzi berkata, PAS perlu mengumpul pendapat daripada NGO berasaskan penyelidikan atau badan pemikir, jika ia mahu melebarkan sayapnya ke negeri lain yang bukan sebahagian daripada kubu kuatnya.

Beliau mempersoalkan jika parti itu sudah melakukan kajian profesional diperlukan, yang berbeza daripada kenyataan rambang yang disiarkan media.
“Jika PAS tidak mendapatkan data berasaskan kajian yang memberikan maklumat itu, ia adalah sukar (untuk mereka).”

Katanya, PAS juga perlu menunjukkan pemimpinnya ialah pemikir berwibawa yang boleh menterjemahkan visi politik Islam mereka sebagai realiti baik yang mampu menarik perhatian rakyat berbilang bangsa dan agama.
0 Komentar untuk "‘PAS boleh menang di kubu kuat, tetapi bukan di seluruh negara’"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI