Menteri jawab isu bersuka-ria guna dana anak yatim - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Menteri jawab isu bersuka-ria guna dana anak yatim

SHAH ALAM – Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan dakwaan mengatakan beliau menyalahgunakan duit anak yatim dan miskin yang diperoleh daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) adalah satu fitnah besar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, dakwaan yang dilemparkan oleh National Oversight and Whistleblowers (Now) menyimpang daripada fakta sebenar selain menjelaskan beliau hanya mengikuti rombongan bagi memenuhi jemputan program yang dianjurkan oleh agensi-agensi di bawah seliaan beliau.

"Adalah menjadi sebahagian tugas dan tanggungjawab saya selaku Menteri di JPM bagi memenuhi jemputan rasmi kedutaan apatah lagi program yang dianjurkan oleh agensi-agensi di bawah tanggungjawab saya. Segala perjalanan dan kegiatan rasmi saya ditanggung oleh agensi berkenaan mengikut polisi dan tatacara kewangan agensi berkaitan,” katanya menerusi sebuah kenyataan, hari ini.

Jelas Jamil lagi, program yang disertainya itu dianjurkan Yapeim dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Amerika Syarikat (AS) dan Education Malaysia (EM) Chicago sempena Mid West Game yang menghimpunkan lebih 1,000 orang pelajar daripada AS dan Kanada.

"Justeru dakwaan kononnya program saya di AS lebih bersifat bersuka-ria menggunakan dana anak yatim adalah satu fitnah yang besar dan cubaan untuk menjatuhkan kredibiliti dan maruah saya selaku Menteri di Jabaran Perdana Menteri. Adalah tidak adil hanya mempamerkan dokumen yang mengelirukan dan tidak menggambarkan keseluruhan program melibatkan saya," tegas Jamil.

Pengarah Now, Akmal Nasir hari ini mendakwa Jamil menggunakan dana milik Yapeim bagi membiayai perjalanan lawatan ke Amerika Syarikat bersama isterinya pada tahun lalu.

Menurut Akmal, rombongan tersebut yang melibatkan perjalanan selama sembilan hari menelan kos keseluruhan RM 410,978.56.

Memetik invois yang dibilkan kepada Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (Pemangkin) yang diperolehnya, Akmal mendakwa, lawatan ke Washington DC, Iowa dan Minnesota daripada 21 hingga 29 Mei 2014 itu membabitkan aktiviti golf dan kunjungan ke pusat membeli-belah.

Jamil dalam kenyataan hari ini memberikan Akmal dan sebuah portal media tempatan tempoh 24 jam untuk menarik balik semua dakwaan dan fitnah terhadap beliau dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Jika tidak, saya akan memulakan tindakan saman fitnah dan malu melalui peguam saya kerana tindakan ini benar-benar telah menjatuhkan maruah dan kredibiliti saya,” ujarnya lagi.

0 Komentar untuk "Menteri jawab isu bersuka-ria guna dana anak yatim"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI