Anggota Umno Jangan Jadi Duri Dalam Daging - Zahid - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Anggota Umno Jangan Jadi Duri Dalam Daging - Zahid



KLANG: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua anggota parti supaya tidak menjadi duri dalam daging tatkala UMNO sedang diuji cabaran berat.

Beliau berkata, adalah menjadi kebimbangan sekiranya konsep 'dalam kawan ada musuh' wujud dalam parti ketika ini kerana ia pasti akan merosakkan kekukuhan Umno yang selama ini memperjuangkan bangsa Melayu.

"Kita paling bimbang kerana kita tidak tahu sekiranya dalam kawan ada musuh dan kita tidak boleh lihat perkara itu berlaku dalam parti kita," katanya dalam ucapan ketika menutup Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kapar di sini, Sabtu.

Menyifatkan Umno tidak memerlukan sokongan retorik mana-mana pihak, Ahmad Zahid berkata seluruh anggota Umno sebaliknya perlu berpadu tenaga mengembalikan zaman kegemilangan parti untuk merampas semula kawasan yang kini ditadbir pembangkang.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menyarankan semua anggota UMNO supaya mempraktikkan tiga syarat bagi memastikan kesinambungan parti itu terus terpelihara.

Antara syarat yang ditekankan Ahmad Zahid adalah anggota Umno pada peringkat akar umbi dan bahagian perlu memperkukuhkan persefahaman dan bersatu padu bagi membentuk semangat berpasukan untuk bergerak sebagai jentera yang kuat.

Selain itu, semua anggota Umno juga perlu menggarap elemen bekerja dengan bersungguh-sungguh tanpa mengharapkan ganjaran demi mencapai matlamat yang diperjuangkan parti selama ini.

"Kita juga perlu memenangi hati nurani dan fikiran rakyat dengan mendalami pemikiran mereka kerana kita khuatir sekiranya sokongan yang diberi hanya penuh dengan kepura-puraan," katanya.

Jelasnya, sekiranya ketiga-tiga syarat yang ditekankan itu dapat digembleng semua anggota Umno, pastinya parti itu dapat merampas kembali negeri-negeri yang dikuasai pembangkang, pada pilihan raya umum akan datang.

0 Komentar untuk "Anggota Umno Jangan Jadi Duri Dalam Daging - Zahid"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI