Lagi bekas pemimpin Pas bakal masuk DAP - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Lagi bekas pemimpin Pas bakal masuk DAP

PETALING JAYA: Seorang lagi bekas pemimpin Pas secara terbuka menyatakan hasrat untuk menyertai DAP.

Terbaru, bekas Peguam Pas, Zulhazmi Shariff yang keluar dari parti itu pada 15 Jun lalu, dijangka akan berbuat demikian dalam tempoh terdekat.

Sewaktu dihubungi FMT, dia menyatakan masih belum lagi menyerahkan borang penyertaannya dan tidak menolak kemungkinan ia akan dibuat pada Khamis di Majlis Berbuka Puasa di Sunway Putra anjuran Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng.

Mengulas penyertaannya dalam parti DAP, Zulhazmi yang pernah memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Pusat turut memberitahu DAP merupakan sebuah parti yang konsisten dengan prinsipnya.

“Di antara parti politik pembangkang yang ada di Malaysia, yang konsisten melawan Barisan Nasional (BN) adalah DAP dan berpegang kepada prinsip.

“Kalau DAP mahukan ketelusan, parti itu akan berusaha untuk menjadi lebih telus, contohnya dari segi ketelusan pentadbiran kerajaan negeri di Pulau Pinang,” terangnya.

Pada masa sama, Zulhazmi menafikan DAP sebagai parti yang menentang dan menindas orang Islam selain merasakan DAP tidak menolak perlaksanaan hukum hudud secara total.

“Saya tidak nampak DAP menentang atau menindas Islam. Walhal, dalam isu hudud sekalipun saya tidak rasa DAP membantahnya, cuma tidak berpuas hati dengan tindakan PAS yang tidak mengikut saluran dan semangat yang betul.

“DAP tidak pernah kata hudud tidak boleh dilaksana, tidak elok atau zalim. Hanya UMNO yang berkata demikian, bahkan, pemimpin DAP hanya menyatakan ia tidak boleh dilaksana kerana melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Tidak terhenti di situ, Zulhazmi turut mengakui bahawa penyertaannya ke dalam parti DAP adalah disebabkan rasa kecewanya dengan Pas.

“Pas masih di takuk lama, menganggap hanya mereka sahaja betul dan apa yang dilakukan oleh rakan parti komponen Pakatan Rakyat (PR) adalah salah,” katanya.  - FMT

0 Komentar untuk "Lagi bekas pemimpin Pas bakal masuk DAP"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI