Adilkah tuduhan G18 bahawa PAS mengaibkan Islam? - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Adilkah tuduhan G18 bahawa PAS mengaibkan Islam?

Besar kemungkinan jika PAS tersisih daripada Pakatan Rakyat dan digantikan parti baru yang ditaja oleh pemimpin-pemimpin serpihan PAS atau G-18, ia tidak akan menjadikan Pakatan berkenaan lebih kukuh.

Ini kerana bukan automatik penyokong PAS akan berpindah kiblat politik mereka dan langsung menyebelahi perjuangan perjuangan G-18. Malah mungkin sebaliknya pula akan berlaku.

Penyokong tegar PAS masih lagi majoriti dari kalangan lebih 1.3 juta ahlinya. Ketaatan mereka pada pimpinan PAS sukar diubah. Malah apabila ada di kalangan pemimpin PAS yang cuba “mengkhianati” perjuangan, mereka ditolak.

Dalilnya ialah keputusan muktamar PAS ke-61 awal bulan ini. Meskipun golongan profesional disanjung kerana memberi nafas baru pada arah tuju PAS, sekilas kumpulan ini dilihat cuba mengancam kedudukan ulama, mereka “ditendang” keluar daripada saf kepimpinan.

Bayangkan jika G-18 ini menjadi parti politik dan bertanding dalam pilihanraya umum menentang PAS, sudah tentu “kebencian” penyokong tegar PAS akan menyungkurkan mereka.

Majoriti ahli PAS menyokong parti itu kerana percaya pada ulama. Bagi mereka, ulama telah berusaha mengasah bakat politik golongan profesional dalam skim “mengulamakkan profesional dan memprofesionalkan ulama”.

Malah ulama juga yang memutuskan bahawa profesional ini diletakkan sebagai calon PAS bertanding di ‘kerusi yang selamat’ demi memastikan kemahiran dan pengetahuan ikhtisas mereka dimanfaatkan sepenuhnya.

Maka berpeluanglah calon seperti Salahudin Ayub dan Dr Hatta Ramli, mendapat kerusi “selamat” di Kelantan. Jika ulama PAS kolot dan tamak kuasa, tentu semua kerusi mudah akan diisi golongan mereka sahaja.

Yang menjadi persoalan, jika G-18 menjadi sebuah wadah politik, bolehkah mereka menggamit simpati rakyat yang dikatakan kini sudah muak dengan gelagat Umno dan mahu perubahan kerajaan?

Sudah tentu hajat itu tidak mudah tertunai. Ini kerana yang pasti ‘dendam’ ahli setia PAS terhadap rancangan mereka  menggerakkan kempen memusnahkan PAS melalui strategi memperlekeh ulama, payah padam.

Bukan sukar bagi ahli PAS menguji kesahihan dan keikhlasan golongan “pengkhianat” ini. Setiausaha penaja G-18, Dr Dzulkifley Ahmad mengumumkan minggu lalu bahawa G-18 tidak akan ‘bertelagah dan menjatuhkan PAS’.

Bagaimanapun tindak tanduk ‘cai” lain dalam G-18 seperti Dr Hatta Ramli dan Khalid Samad, adalah amat bertentangan sama sekali dan ini langsung mencemar darjah keikhlasan mereka berjuang.

Belumpun tertubuh parti politik baru yang didakwa bersifat lebih inklusif untuk rakyat Malaysia, Dr Hatta sudahpun “membelasah dan meremehkan pimpinan PAS” sendiri.

“Kami (G18) yakin bahawa PAS, maksudnya pemimpinnya, sudah sampai satu tahap di mana pendirian dan gelagat mereka tidak mewakili sebuah parti politik Islam yang sejati.

“Pada masa tertentu PAS kelihatan ‘mengaibkan’ Islam di mata khalayak, tidak kira pada muslim atau bukan,” kata Hatta kepada sebuah portal pro-pembangkang.

Beliau berkata, isu ini sudah ditegur di kalangan pemimpin parti tetapi ia tidak menunjukkan sebarang perubahan.

“Malah sebaliknya, suara yang bertentangan dan kurang senang pada pimpinan ini dianggap sebagai menentang ulama,” kata bekas Pengarah Pilihanraya PAS itu.

Ahli G18 yang juga Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad memberi contoh bagaimana “sikap tegar” pimpinan PAS meletakkan calon bertanding merebut kerusi Kot Damansara dalam pilihanraya umum lalu, memalukan Islam.

Khalid berkata, kerusi berkenaan diperuntukkan bagi Pengerusi Parti Sosialis Malaysia, Dr Nasir Hashim yang menggunakan logo PKR, tetapi PAS telah ‘kacau daun’ dengan meletakkan calonnya. Akibatnya, BN menang di situ.

“Nasir telah menjadi Adun di situ selama lima tahun tetapi tiada rungutan akan kepimpinannya. Alasan yang diberi PAS hanyalah kerana beliau mewakili parti berfahaman sosialis,” kata Khalid.

Selain itu, katanya, PAS telah mengaibkan Islam apabila cuba mengganggu majlis yang diadakan khusus untuk orang bukan Islam.

“Bila ada bukan Islam menganjurkan majlis khusus untuk mereka sendiri seperti Oktoberfest, PAS cuba menghalangnya. Ini memalukan kerana PAS tidak hormati hak orang bukan Islam.

“Tak apalah dihalang jika Oktoberfest diadakan di Makkah, Madinah atau Arab Saudi tapi di sini keadaannya amat berbeza,” katanya.

Beliau berkata, apa PAS patut lakukan ialah memastikan tidak ada orang Islam dijemput menghadiri majlis seperti itu dan ia tidak dianjurkan di kawasan di mana ada ramai orang Islam.

Khalid juga berkata bahawa parti baru yang hendak ditubuhkan itu akan dibuka pada ahli bukan Islam tetapi berkongsi hasrat parti Islam itu menentang rasuah dan menegakkan keadilan.

“Kehadiran kami bukan mahu bertelagah tetapi mahu mengemukakan imej alternatif sebuah parti politik Islam yang demokratik dan inklusif,” katanya.

Jika demikianlah citarasa parti G18 ini maka apa bezanya ia dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR)? Tidakkah parti keluarga Anwar Ibrahim ini berasa terancam dengan G18 yang beria-ia mahu menolak PAS dari Pakatan Rakyat?

Sayugia diingat bahawa DAP juga mengaku sebuah parti berbilang kaum dan kini sibuk merekrut ahli baru dari keturunan Melayu khususnya. Soalnya, siapakah yang G18 hendak nyahkan dari Pakatan Rakyat – PKR atau DAP?

Benarkah G18 ini perkumpulan pejuang Islam yang demokratik atau gerombolan pemimpin kecewa kerana tidak dipilih dan kini mahu melampias kekecewaan dengan juga memusnahkan partinya sendiri?

Kini mereka terhegeh-hegeh mahu bertemankan PKR dan DAP tanpa menyedari bahawa mereka akan menjadi “ancaman baru” pada keharmonian dalam Pakatan 2.0.Selamat berjuang dan syok sendiri.  - AntarPOS

0 Komentar untuk "Adilkah tuduhan G18 bahawa PAS mengaibkan Islam?"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI