Jangan putus isu hudud sewenang-wenangnya - Mujahid Rawa - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Jangan putus isu hudud sewenang-wenangnya - Mujahid Rawa

Tajuk ini sudah sepatutnya lama dinukilkan dan oleh kerana isu hudud kini terus menjadi polemik yang kini sudah masuk ke daerah perdebatan yang lebih luas.

Penulis akan cuba melihat isu hudud dalam ruang perbahasan usuliy (prinsip perundangan Islam) yang menjadi teras kepada perlaksanaan syariat termasuk hudud atau lebih tepat sistem hukuman dalam Islam.

Saya akan menggunakan istilah hudud sebab itu lebih mudah difahami dalam penulisan ini. Tulisan ini juga mengingkari mana-mana pihak yang menghukum seorang muslim sewenang-wenangnya dalam memahami dan membahaskan aspek perlaksanaan hukum hudud.

Bagi bukan Islam, tulisan ini diharapkan dapat memberi keadilan kepada sikap penentangan atau salah faham mereka kepada tajuk penting ini.

Ruang perbahasan

Adalah penting untuk menetapkan ruang perbahasan kerana hudud diberi suntikan emosi lebih dari perspektifnya yang objektif. Premis pertama perbincangan dipandu dengan perkara yang wajib disepakati bersama oleh umat Islam dan tidak boleh keluar daripada kesepakatan ini.

Premis kedua ialah perkara yang diharuskan untuk berbeza pandangan tanpa melihat niat kepada perbezaan pandangan. Sebaliknya, perbahasan ini tertumpu kepada asas hujahan untuk mencapai tujuan dan maksud syariat (maqasid syariah).

Syariat Islam

Saya bersetuju bahawa Islam mencakupi semua bidang kehidupan diringkaskan kepada semua bidang dalam kehidupan dunia untuk mencapai kebahagiaan di akhirat.

Syariat pula adalah apa yang ditentukan panduan atau jalannya untuk berada pada aqidah sebenar dan panduan hukum untuk menjalani kehidupan di dunia.

Firman Allah bermaksud:

“Kesudahannya kami jadikan engkau (wahai Muhammad) menjalankan satu syariat (yang lengkap) dari hukum hakam agama, maka turutilah syariat itu dan jangan engkau menuruti hawa nafsu orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar)” –Al Jathiah: 18

Sesiapa yang mengingkari hakikat ini seolah ia mengingkari kewujudan Islam itu sendiri.

Sistem hukuman

Bersetuju bahawa dalam syariat Islam adanya sistem hukuman balas atau pada jenayah yang dibahagikan kepada hudud, qisas dan takzir.

Selain hudud, pemimpin dan pakar perundangan negara yang menetapkan apakah hukuman yang perlu untuk menjaga ketenteraman awam daripada pertimbangan maslahah (kebaikan) dan mafsadah (keburukan) yang ada.

Sesiapa yang mengatakan tidak perlu kepada semua ini seolah-olah mengajak kepada masyarakat yang tiada perundangan. Ini akan membawa kepada huru-hara dan porak-peranda.

Ketetapan hukum

Dalam perlaksanaan undang-undang Islam, ketetapan hukum boleh dilaksanakan tanpa kuasa pemerintahan seperti solat, puasa, zakat dan lain-lain kerana hukumnya ditetapkan dan maslahatnya adalah akhirat, yang perlu ditanggung oleh setiap individu.

Jika pelaksanaan untuk hukum yang membawa maslahat orang ramai dan maslahat dunia, maka pemerintah perlu membuat keputusan dengan syarat perkara itu ada asas kukuh perbezaan pandangannya.

Pelaksanaan hukum

Saya bersetuju bahawa perlaksanaan hukum terbahagi kepada Hukmu Taklifi dan Hukmu Wadhie. Hukmu Taklifi adalah apa yang dituntut pada sesuatu perlakuan dari mukallaf atau diminta tidak melakukannya atau diberi pilihan untuk melakukannya atau tidak.

Ini melibatkan hukum wajib, haram, makruh, dan mubah. Hukmu Wadhie pula ialah apa yang tertuntut dari mukallaf dengan menjadikan sesuatu hukum sebab pada pelaksanaan atau diletakkan sesuatu syarat kepada terlaksananya sesuatu hukum itu ataupun hukum itu tidak terlaksana kerana terhalang.

Dr Wahbah Az Zuhaili memberikan contoh menegakkan hudud sebagai Taklif Wadhie atas keperluan syarat, kerana walaupun kesalahan mencuri boleh dikenakan hudud, namun syarat untuk melaksanakannya diperlukan.

Menurut ulama ini, syarat adalah keperluan hukum di luar daripada hakikat hukum tersebut, seperti rukun dalam solat tidak sempurna tanpa syarat taharah yang di luar daripada rukun solat.

Perbahasan ke atas asas Usul Fiqh penting sebab kita tidak boleh sewenang-wenangnya menolak hujah yang mencadangkan agar penelitian yang besar perlu diberikan kepada proses untuk mengeluarkan sesuatu perintah hukum termasuk hudud.

Apatah lagi sesetengah kita menidakkan keperluan bersikap cermat dan berhati-hati dalam memahami Khitab Allah (perintah Allah) kepada para mukallaffin (hamba yang dipertanggungjawabkan perlaksanaan hukum).

Sedangkan, gesaan seperti itu dibuat tanpa mengetahui disiplin istinbat (perumusan) sesuatu hukum dalam syariat secara bertanggungjawab.

Realiti semasa

Saya bersetuju bahawa perbahasan konstruktif tentang hudud perlu melihat kepada persoalan kaedah perundangan, masalah semasa dalam perundangan negara, persediaan asas hudud yang hendak dijadikan undang-undang dan realiti semasa yang terpaksa dihadapi.

Semua perbahasan ini tidak mengeluarkan seseorang daripada aqidah Islam kerana perbahasan ini diambil sejarahnya dari zaman Rasulullah. Ia dijadikan pengajaran oleh para sahabat dan para tabiin kemudiannya sehinggalah disiplin ilmu pengkaedahan terbentuk dalam kajian usul fiqh yang kita warisi hari ini.

Antara contoh yang diberikan oleh Dr Abdul Salam Balaji ialah;

- Menangguhkan perlaksanaan hudud kerana khuatir terhadap yang dikenakan hukuman akan lari kepada musuh semasa peperangan. Memelihara kemaslahatan orang yang sabit hukum kerana memelihara maslahah pada dirinya seperti mengandung.

- Hukum Mualafatul Qulub atau orang yang ingin ditawan dalam asnaf zakat ditiadakan zaman Umar kerana bilangan muslim semakin ramai. Menghidupkan sunnah tarawih secara jamaah di masjid setelah hilang kebimbangan bahawa perbuatan itu dikhuatiri menjadi wajib.

- Menghalang Nikah Kitabiyat (mengahwini perempuan ahli kitab) di kalangan sahabat walaupun ia diharuskan oleh syariat kerana maslahat menjaga keperluan wanita muslimat daripada ditinggalkan dan kerana khuatir perkahwinan kitabiyat boleh menjadi keselamatan khuatir mereka boleh menjadi pengintip.

- Melihat realiti semasa seperti menangguhkan hukuman curi pada seorang hamba miskin dan memberi amaran kepada tuannya yang menyebabkan hambanya mencuri kerana tidak diberi makan.

Kesemua tindakan ini bukan berasaskan kepada menolak sesuatu perintah Allah tetapi melihat kepada sesuatu keadaan, perkara mendatang yang diletakkan dalam bingkai realiti semasa yang dihadapi, ia kemudiannya dikenali sebagai Fiqh Al Waqie (Fiqh Realiti).

Soal perlaksanaan hudud dalam perbahasan kerangka usuliy (prinsip asas hukum) tidak pernah menyatakan menolak hudud apatah lagi mengingkarinya, apa yang diperbahaskan dalam kerangka Ahkam Syar’iyyah (hukum syara’) ialah keseluruhan hikmah syariat antara berusaha memenuhi sebab, menyempurnakan syarat dan menghindari halangan ataupun diberi status penangguhan.

Ibnu Al Qayyim Al Jauziyah dalam I'lam Muwaqqaien dalam tajuk 'Perubahan dan Perbezaan Fatwa Berdasarkan Perubahan Waktu, Tempat, Keadaan dan Niat serta Sesuatu Yang Terjadi Kemudian' memberi empat contoh bagaimana ia berlaku. Asasnya, menurut beliau;

“Ini adalah perkara yang besar sekali manfaatnya, banyak sekali terjadi kesalahan besar terhadap syariat yang justeru menimbulkan dosa, kesulitan dan pembebanan sesuatu yang sebenarnya syariat sendiri tidak menetapkan hal yang demikian....”

Berbeza pandangan

Sebagaimana dipersetujui adalah persoalan dalam menafsirkan dan memahami apakah realiti, konteks dan permasalahan yang dihadapi apabila kita meletakkan isu hudud dalam konteks kuasa dan infrastrukturnya. Kita boleh berbeza pandangan dalam menetapkan apakah syarat kepada pelaksanaan hudud tercapai atau tidak.

Kita juga boleh berbicara dan berbahas apakah keutamaan yang lebih utama yang hendak kita tumpukan sebagaimana kita juga boleh berbahas dan berbeza pandangan tentang kesan pelaksanaan kepada persediaan kefahaman, reaksi musuh Islam dan persediaan proses keadilan menurut acuan Islam dan kaedah pembuktiannnya.

Tidak salah untuk kita berbeza pandangan dalam hal ini dan ia tidak menggugurkan aqidah kita asalkan premis pertama disepakati terlebih dahulu.

Tahqiq Al Manat (proses merealisasikan hukum) adalah paksi perbahasan yang mungkin menerima berbagai pandangan. Ia melihat kepada illah (faktor) atau hikmah mengapa sesuatu hukum itu ditentukan dan jika pada ketika ianya tidak tercapai maka pelaksanaan sesuatu hukum itu perlu diberi penelitian yang diiktiraf oleh syara’ untuk menangguhkannya.

Syaikh Abdullah Bayah, seorang ulama terkenal dunia menamakan pemimpin, presiden negara atau parlimen sebagai penentu Tahqiq Al Manat bagi melihat realiti negara dan implikasinya sama ada untuk menangguh atau melaksanakan hudud.

Syaikh Abdullah Bayyah memberi dalil kes zaman Nabi dan sahabat seperti saranan Ibnu Al Qayyim dalam waktu perang, kesukaran hidup dan ancaman musuh sebagai alasan untuk mencapai keputusan Tahqiq Al Manat sama ada melaksanakan hudud atau tidak.

Di sinilah perbahasan yang tuntas diperlukan, asalkan perkiraan tersebut menjadi perbahasannya –  bukan mentakfirkan atau menuduh seseorang muslim lain sebagai antihudud. Lainlah jikalau seseorang mengingkari dan mengatakan hudud sudah tidak relevan dan mengajak orang menolaknya maka ia keluar dari kedua-kedua premis yang dibincangkan.

Bagi bukan Islam mereka perlu difahamkan bahawa hudud tidak boleh dibuang dari kamus orang Islam dan ia adalah tanggungjawab kerana jika salah mereka memahaminya umat Islam akan terganggu dengan pandangan mereka.

Rumusan

Tulisan ini adalah untuk memberikan isu hudud pada tahap pemikiran yang objektif berpandukan kepada panduan syariat dan bukan perbahasan emosi yang menghodohkan wajah Islam itu sendiri.

Setiap perkiraan dalam pelaksanaan adalah usaha bercermat dengan prinsip usul yang ditetapkan oleh manhaj syariat Islam. Sikap mengambil mudah dalam isu hudud tanpa memberi gambaran tujuan syariat atau maqasid syariah yang lebih besar akan memberi ruang kepada tuduh menuduh yang boleh membawa kepada mendukung kelompok Takfiri (mengkafirkan orang lain).

Alangkah sedihnya isu hudud dikuasai oleh golongan yang mengambil mudah dan merosakkan erti kemuliaan dan kerahmatan Islam. Lebih buruk lagi jika ia terdorong kepada kepentingan politik semata-mata dengan menjadikan hudud sebagai taruhan meraih sokongan dan bukan diberi perspektif berpandukan disiplin ilmu yang mahal harganya.

DATUK MUJAHID YUSUF RAWA ahli jawatankuasa PAS pusat dan MP Parit Buntar.

0 Komentar untuk "Jangan putus isu hudud sewenang-wenangnya - Mujahid Rawa"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI