BANGI – "Kebebasan Islam yang sebenar hanya tertakluk atas perkara yang diredhai ALLAH dan ia demi memelihara kesejahteraan masyarakat dalam sesebuah negara,” demikian menurut Penyelaras Hal Ehwal Akademik Pusat Pengajian Lanjutan Islam, Sains dan Tamadun (Casis) Universiti Teknologi Malaysia (Uniten), Prof Madya Dr Khalif Muammar A Harris.

Katanya, pemikiran golongan liberal, sekular dan plural sering kali menekankan kehidupan lebih bebas dan terbuka berbanding kehidupan masyarakat berlandaskan hukum dan syariah Islam.

Ia kerana wujudnya hukum Islam yang menetapkan larangan ke atas umatnya daripada melakukan kemungkaran.

Islam melarang kemungkaran seperti melakukan kemaksiatan, meminum arak dan lain-lain demi memelihara agama dan akal manusia.

“Golongan sekular sentiasa menolak kerajaan berlandaskan agama Islam. Mereka mendakwa negara Islam negara yang tidak mengamalkan kebebasan. Negara Islam dilihat sebagai antithesis kepada hak asasi manusia.

“Dalam Islam, kebebasan sebenarnya melakukan perkara yang baik. Kebebasan untuk melakukan perkara buruk bukan erti kebebasan yang sebenar. Namun manusia juga diberikan pilihan untuk memilih antara dua pilihan iaitu jalan yang baik atau sebaliknya,” katanya.

Namun jelasnya, Islam tidak mengekang atau melarang mana-mana individu bukan Islam meminum arak dan lain-lain.

“Islam wajib menghormati penganut agama lain. Penolakan mereka yang tidak menganut agama Islam tidak akan diredai ALLAH. Jika mereka sengaja menolaknya, ia akan membawa kepada kekufuran. Jika mereka menolak kerana kejahilan dan kekeliruan mungkin mereka akan dimaafkan,” jelasnya.