DI awal kariernya sebagai pelakon, anak jati Pulau Pinang ini pernah dikritik hebat gara-gara lakonannya menerusi  ‘Playboy Itu Suami Aku’ dikatakan agak kaku.

Akui kelemahan itu, Risteena Munim tidak pernah menganggap ia sebagai satu titik noktah buat dirinya untuk meneruskan karier malah sentiasa mencari peluang memperbaiki kekurangan dirinya agar tidak terus dilabel pelakon 'kayu'.

“Saya akui kelemahan itu dan apa yang boleh saya katakan, mungkin ketika itu saya terlalu baru diberikan watak utama. Belum cukup setahun saya telah ditawarkan memegang watak itu jadi banyak perkara yang masih perlu saya belajar.

“Walaupun dikritik hebat, saya anggap ia sebagai satu pengalaman yang bermakna untuk terus memperbaiki mutu lakonan saya ketika itu,” katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu, Risteena bersyukur kerana masih diberi peluang oleh pihak produksi untuk membuktikan kemampuannya sebagai seorang pelakon.

“Bagi saya, tidak semua orang dilahirkan terus pandai berlakon. Jadi untuk saya sendiri memang ambil masa untuk perbaikinya. “Saya juga sudah beberapa kali bekerja dengan pengarah yang sama, dan itu menunjukkan mereka tidak serik.

“Saya bersyukur dan kepercayaan yang mereka beri saya gunakan dengan sebaik mungkin,” jelasnya panjang lebar.

Masih diberi kepercayaan

Selepas dua tahun bergelar anak seni, Risteena gembira kerana bukan sahaja berpeluang membuktikan kemampuannya dalam bidang lakonan, tapi dia juga diberi kepercayaan menghidupkan pelbagai watak.

Terbaru, pelakon berusia 25 tahun ini bakal tampil memegang watak ganas dalam projek terbarunya dalam slot Aksi berjudul ‘Pelan B’ yang bakal bersiaran setiap Selasa pada jam 10.00 malam bermula 19 Ogos ini.

“Ini peluang pertama diberikan pada saya untuk membawa watak yang berbeza daripada lakonan saya sebelum ini. Kali pertama dapat skrip, saya sudah jatuh cinta sebab watak ganas dan lasak seperti ini memang saya tunggu-tunggu.

“Tambahan pula watak Iris ni sebenarnya pelbagai dan saya sangat mengharapkan penonton menerimanya dengan baik,” katanya penuh teruja.

Berkongsi cabaran menghidupkan watak itu, Risteena akui emosinya agak terganggu sewaktu menjalani penggambaran yang melibatkan ‘skrin hijau’.

“Memang emosi saya agak terganggu sebab saya perlu lakonkan babak membawa kereta seperti ia benar-benar berlaku sedangkan ia hanya dijalankan menggunakan ‘skrin hijau’.

“Dari segi keserasian dengan pelakon lain seperti Shukri Yahaya dan Talha Harith memang tidak ada masalah kerana kami pernah bekerjasama dalam drama ‘Menjinak Ombak’.

"Begitu juga dengan Zoey Rahman, saya tidak ambil masa untuk berlakon dengannya,” ujarnya yang memilih lakonan aktres Angelina Jolie dan Jodie Foster sebagai rujukan.

Jadi 'pelacur'

Dalam perkembangan lain, Risteena juga memberitahu dia tidak sabar untuk menjalani penggambaran projek terbaharunya bersama Zeel Production  tahun hadapan. Bukan kerana teruja menjalani penggambaran di Chicago, Amerika Syarikat, tetapi watak yang diberikan kepadanya sebagai seorang pelacur.

“Memang saya teringin mahu bawa watak pelacur dan tidak sangka pula kali ini saya terpilih. Bila bawa watak mencabar seperti ini sedikit sebanyak ia dapat perbaiki mutu lakonan dan sekali gus menjadikan saya seorang pelakon yang versatil.

“Namun pada masa yang sama, untuk melakonkan watak ini saya masih berpegang pada batasannya,” ujarnya sebelum mengakhiri perbualan.