SHAH ALAM – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mungkin terpaksa melepaskan jawatannya dalam kerajaan negeri apabila disingkirkan daripada PKR.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Fuad Mad Jali berkata, pemilihan Abdul Khalid menyandang jawatan nombor satu negeri itu dibuat PR apabila wakil PKR diberi mandat di Selangor menerajui menteri besar.

Bagaimanapun, menurutnya Abdul Khalid masih boleh berbakti kepada rakyat sebagai Adun Pelabuhan Klang dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak kerana ia merupakan pilihan undi rakyat.

“Ketika PRU13 lalu, PR menang dengan Pas mendapat 15 kerusi manakala PKR dan DAP masing-masing 14 kerusi menewaskan Umno-BN. PKR diberi laluan menjadi menteri besar.

“Apabila berlaku undi tidak percaya terhadap Abdul Khalid dan beliau disingkir daripada parti maka, beliau perlu melepaskan jawatan itu. Disingkir bermakna dia menjadi ‘bebas’ dan sudah tentu bukan lagi parti majoriti yang diberi mandat,” katanya.

Beliau berkata, meskipun Pas Selangor berdiri di belakang Abdul Khalid, menteri besar itu memerlukan sokongan daripada DAP untuk terus kekal sebagai suara majoriti ahli Dun.

Bagaimanapun Fuad berkata, PKR perlukan bukti kukuh untuk menyingkir Abdul Khalid berdasarkan lima isu, iaitu penstrukturan semula industri air, kenaikan cukai lesen perniagaan, isu pinjaman peribadi dengan Bank Islam, elaun baharu menteri besar dan cadangan
pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex).

“PKR tidak boleh memecat Menteri Besar itu selagi belum terbukti kesalahan yang dilakukan. Abdul Khalid juga boleh mempertahankan tuduhan yang dikenakan ke atas beliau dan lima isu yang dibangkitkan itu tiada kaitan dengan parti kerana ia pentadbiran negeri,” katanya.