KUALA LUMPUR - Filem Tanda Putera menarik ditonton kerana aspek seninya dan sarat dengan mesej perjuangan serta sejarah, demikian menurut penonton filem patriotik itu.
  
Tanda Putera merupakan sebuah filem biografi sejarah arahan Datuk Paduka Shuhaimi Baba berkisarkan mengenai perjuangan Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya, Tun Dr Ismail Abdul Rahman bersama-sama menyelesaikan rusuhan kaum pada tahun 1969.
  
Jurufoto bebas, Ng Koh Ying berkata masyarakat perlu menonton karya tempatan itu dengan melihat serta menilainya daripada perspektif seni yang ingin disampaikan karyawan tersebut.
  
Katanya masyarakat berbilang kaum di negara ini khususnya golongan muda perlu mengambil peluang menonton filem kenegaraan tersebut yang diharap dapat menyedarkan masyarakat mengenai perjuangan dua negarawan tersebut.
  
"Walaupun kerajaan negeri Pulau Pinang ingin mengharamkan penayangan filem ini, namun kita tidak perlu terikut-ikut untuk tidak menyokong industri filem kita, lebih-lebih lagi filem berkisarkan sejarah negara," kata wanita yang berasal dari Sarawak berusia 29 tahun itu kepada Bernama selepas menonton filem tersebut di sini.

Kerajaan negeri Pulau Pinang dilaporkan meminta pengusaha pawagam di negeri itu supaya tidak menayangkan filem Tanda Putera dengan mendakwa ia mengandungi unsur sensitif yang tidak sesuai untuk tontonan umum.
  
Raja Mohd Nazri Raja Md Esa, 27, pula menyifatkan filem tersebut sebagai bahan sejarah yang membawa mesej bermanfaat kepada generasi muda tentang erti sebuah perjuangan.
  
"Kedua-dua negarawan kita berusaha melaksanakan pelbagai perancangan bagi menjamin kestabilan serta masa depan negara pada ketika itu, jadi kita sebagai generasi muda jangan sesekali perdagangkan segala apa yang kita miliki sekarang," katanya.
  
Penuntut kolej swasta, Mohd Shafiq Esabudin, 23, yang meluangkan masa bersama rakan-rakannya menonton filem Tanda Putera hari ini teruja dapat menonton filem tersebut.
  
Katanya, sebelum ini beliau serta rakan-rakannya hanya mendengar cerita daripada guru mereka mengenai perjuangan pemimpin terdahulu serta peristiwa hitam 13 Mei 1969, namun filem ini membawa gambaran tentang perjuangan dalam menjernihkan kemelut tersebut pada ketika itu.

Sementara itu, Penyelia TGV Wangsa Walk Faizal Gani berkata filem Tanda Putera mencatatkan jualan kira-kira 210 tiket untuk dua waktu tayangan iaitu 2 petang dan 4.35 petang di pawagam itu.
  
Beliau menjangkakan jumlah penjualan akan meningkat kerana filem tersebut ditayangkan bertepatan dengan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-56, Sabtu ini.
  
"Saya alu-alukan lebih ramai lagi rakyat negara ini untuk datang menonton filem yang membawakan mesej yang amat bagus sekali selain memberi sokongan kepada filem tempatan," katanya.
  
Pengarah filem tersebut, Shuhaimi dalam laporan semalam telah meminta masyarakat melihat filem ini sebagai filem yang membangkitkan rasa sayang kepada negara dengan mengekalkan keamanan yang ada dan bukannya menjadikan ia sebagai satu filem yang mendorong kepada perkara yang tidak harmoni. - Bernama