KUALA LUMPUR - Seperti dalam 'roller-coaster', itulah pengalaman yang dirasai dua beradik Nur Syamimi Ja'far, 25, dan Nur Fathiah Ja'far, 21, menceritakan detik cemas ketika bas yang mereka naiki terbabas dan jatuh ke dalam gaung sedalam 60 meter, di Genting Highlands semalam.
  
Menurut Syamimi, ketika itu bas dipandu laju kerana pemandu sebelum itu bertengkar dengan pemandu sebuah kereta yang membunyikan hon sewaktu bas itu berhenti seketika di tengah jalan dekat selekoh masuk ke tokong di situ.
  
Dia yang patah bahu kiri, berkata bas itu berhenti di tengah jalan hampir lima minit sebelum pemandu mengundurkannya dan memulakan semula perjalanan ke Kuala Lumpur.
  
"Pemandu ditegur oleh beberapa penumpang supaya jangan marah-marah tetapi teguran itu hanya membuat pemandu lebih marah dan terus memandu dengan laju," katanya.
  
Katanya tidak lama selepas itu penumpang mula menjerit ketakutan apabila pemandunya hilang kawalan dan bas terjunam ke dalam gaung.

Nur Fathiah yang cedera di paha kanan memberitahu Bernama ini bukan pertama kali dia terlibat dalam kemalangan melibatkan bas.
  
"Dua tahun lalu ketika dalam perjalanan dari universiti di Kedah, saya terlibat dalam kemalangan tetapi hanya mengalami kecederaan ringan. Kali ini saya terpaksa dibedah kerana terdapat serpihan kaca di dalam paha kanan saya," katanya.
  
Fathiah, pelajar diploma perakaunan di Universiti Utara Malaysia, berkata dia dan kakaknya pergi bercuti di Genting Highlands dengan wang hasil menjual kuih raya dan kerepek sepanjang Ramadan lalu.
  
Berikutan tragedi itu, mereka kini serik untuk menaiki pengangkutan awam.
  
Bernama turut menemu bual mangsa warga Kanada berketurunan Bangladesh yang turut menceritakan perkara sama yang berlaku.

Mangsa Rashitah Buyah, 50, kematian suaminya dalam kejadian semalam.
  
"Pemandu itu seakan-akan hilang pertimbangan kerana terlalu marah dan apabila ditegur oleh penumpang, dia semakin marah," katanya.
  
Rashitah bersama empat lagi ahli keluarganya pergi ke Genting Highlands untuk melancong bersama rakan mereka yang menetap di sini.
  
Anak Rashitah, Raawnok Arefin, 14, dan Rezyan Arefin, 24, masing-masing mengalami patah tulang kaki dan tangan kanan kini dirawat di Hospital Selayang. - Bernama