NEGERI Sembilan dan Felda United berjaya mengesahkan tempat untuk bersaing dalam Piala Malaysia 2013 setelah berjaya menewaskan lawan masing-masing pada perlawanan play-off semalam.

Negeri Sembilan mencatat kemenangan selesa setelah mengecewakan Sabah 4-0 di Stadium Shah Alam.

Dalam perlawanan itu, skuad bimbingan Ridzuan Abu Shah terlebih dahulu membuka tirai jaringan apabila Mohd Nazrin Mohd Nawi meletakkan Negeri Sembilan di depan pada minit ke-10.

Mohd Nazrin kemudian mengandakan jaringan  menerusi sepakan penalti pada minit ke-14 selepas pemain import Negeri Sembilan, Leandro Fabio dijatuhkan pemain Sabah, Shahrul Azhar Ture.

Leandro Fabio menambah duka pasukan Sabah apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-50 sebelum Mohd Nazrin sekali lagi meledak gol pada minit ke-85.

Sementara itu, Felda United pula mencatat kemenangan 1-0 ke atas Pos Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Dalam aksi itu, Shafizan Hashim muncul wira pasukan Felda United apabila menjaringkan gol tunggal pasukannya menerusi sepakan penalti pada minit ke-64.

Keputusan itu membuatkan Negeri Sembilan dan Felda United akan bersama 14 pasukan lain dalam memulakan kempen Piala Malaysia bermula 17 Ogos ini.