Mukhriz Tun Dr Mahathir
Mukhriz Tun Dr Mahathir
ALOR SETAR - Kerajaan Kedah sedang menilai semula kewajaran Insaniah Holdings Sdn Bhd dan anak-anak syarikatnya dalam usaha kerajaan negeri menyelesaikan masalah Kolej Universiti Insaniah (Kuin).
  
Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata menerusi penilaian semula itu kerajaan negeri antara lain mempertimbang langkah untuk memperkemaskan pengurusan anak syarikat Kuin berkenaan.
  
"Hasil siasatan awal yang dijalankan, kita dapati memang wujud kepincangan dalam pengurusan Kuin dan bagi menyelesaikan masalah ini tindakan daripada kerajaan negeri diperlukan.
  
"Kita juga dapati terdapat beberapa entiti yang terpaksa menanggung kerugian dan terpaksa bergantung kepada sumber dana Kuin yang disalurkan oleh kerajaan negeri dan suntikan bantuan ini telahpun mencecah jutaan ringgit yang seharusnya boleh digunakan untuk kegunaan rakyat," kata Mukhriz.   
  
Beliau yang ditemui pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Kolej Poly-Tech Mara Alor Setar di sini hari ini, berkata sebelum pilihan raya umum ke-13, Barisan Nasional (BN) banyak menerima aduan mengenai masalah di Kuin.

"BN memandang serius semua aduan itu dan setelah diberi mandat mentadbir negeri, tindakan pertama diambil adalah untuk menyiasat dengan mendalam perkara-perkara yang dibangkitkan melalui pertemuan, siri demonstrasi mahupun dari audit forensik yang telah dijalankan," katanya.
  
Menurut Mukhriz, kerajaan negeri juga menyusun semula struktur akademik Kuin terutama membabitkan kursus yang ditawarkan menerusi Insaniah Holdings yang didapati menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya.
  
Antaranya ialah kursus perubatan yang dibimbangi tidak diiktiraf  badan profesional, kata beliau.
  
"Kita bimbang kerana Insaniah Holding ada kelemahan yang akan menjurus kepada ijazah yang tidak boleh dipakai oleh graduan Kuin sehingga menyebabkan mereka sukar mendapatkan pekerjaan yang mereka inginkan selepas mendapat ijazah.
  
"Tapi kita mohon pelajar bersabar dan tidak perlu risau kerana pendekatan yang terbaik akan dibuat dan walau apapun keputusan yang bakal diputuskan, kebajikan, kepentingan dan masa depan mereka akan sentiasa dibela dan diutamakan," katanya.
  
Beliau berkata pihaknya akan memberi sepenuh perhatian untuk menyelesaikan masalah dan kelemahan Kuin agar kolej universiti itu menjadi sebuah institusi pengajian tinggi terkemuka selaras dengan Aku Janji BN untuk melonjakkan Kuin ke peringkat antarabangsa. - Bernama