SUKAN : RABU 27 MEI 2009 - KEPUTUSAN LIGA SUPER KEDAH Kalah lagi - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

SUKAN : RABU 27 MEI 2009 - KEPUTUSAN LIGA SUPER KEDAH Kalah lagi

Kelantan bangkit di Bukit Jalil

Oleh Mohd Fazrie Hazis, Azizan Hashim dan Hamid Salleh
bhsukan@bharian.com.my


PEMAIN Terengganu, Abd Manaf Mamat (kanan) berebut bola dengan pemain Johor FC, Md Nurul Azuwan Roya pada saingan Liga Super di di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi. Terengganu menang 3-2.

Hajat Kedah catat tiga mata tidak kesampaian tewas 1-0 kepada Perak

PERAK meraih kemenangan semangat bagi menamatkan badi lima kekalahan berturut-turut untuk bangkit bagi mengaibkan pasukan di tangga keempat, Kedah 1-0, keputusan yang nyata melegakan jurulatih M Karathu.

Kata-kata semangat di bilik persalinan, nyata membangkitkan semangat pemain Perak apabila berjaya berada di depan pada minit ke-47 menerusi gol Razali Umar Kandasamy.

Dia yang tidak dikawal, berjaya mencuri bola daripada kaki Mohd Sabri Md Abu sehingga memaksa penjaga gol Kedah, Md Helmi Eliza Alias, meninggalkan gawang. Tapi Razali bijak menguis bola ke gawang.

Walaupun corak permainan anak buah Azrai Khor Abdullah lebih tersusun, barisan Perak kental bertahan sehingga wisel penamat. Keputusan itu menyaksikan Kedah kekal di tangga keempat Liga Super dengan 31 mata dan Perak mengumpul 23 mata.

Di Stadium Sultan Mizan, Terengganu yang disuntik semangat selepas mengaibkan Perlis, Sabtu lalu, menjadikan Johor FC sasaran mereka apabila menundukkan pelawat 3-2.

Terengganu bermula garang dan gol yang dinanti hadir pada minit ke-32 apabila Ashaari Shamsudin yang menerima hantaran daripada Manaf Mamat, meledakkan bola ke gawang menggunakan kaki kirinya, menewaskan penjaga gol Johor FC, G Jeevanathan.

Kegirangan tuan rumah tersentak menjelang tamat separuh masa apabila Eddy Helmi Abdul Manan, yang tidak dikawal, mudah menewaskan penjaga gol Terengganu, Md Shabinee Allawee pada minit ke-36.

Ashari bermain cemerlang malam tadi untuk mencatatkan hatrik menerusi jaringan pada minit ke-56 dan 90, manakala gol kedua Johor FC dijaringkan Md Azizan Baba pada minit ke-68.

Di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kelantan menghapuskan badi lima kekalahan berturut-turut apabila menewaskan KL Plus 1-0 hasil jaringan Zairul Fitri pada minit ke-35 bagi mencatat kemenangan pertama di 'rumah baru' mereka selepas dilarang beraksi di Stadium Sultan Mohd IV.




Api perjuangan Kelantan terus menyala


PEMAIN Terengganu, Abdul Manaf Mamat (belakang) dihalang pemain Johor FC, Md. Nurul Azuwan Roya pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Terengganu malam tadi. Terengganu menang 3-2. - utusan/FAUZI BAHARUDIN

KUALA LUMPUR - Kelantan akhirnya menamatkan kemarau lima perlawanan tanpa kemenangan apabila menundukkan KL PLUS 1-0 dalam saingan bola sepak Liga Super di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Gol tunggal Zairul Fitree Ishak pada babak pertama cukup untuk menggembirakan kira-kira 300 penyokong skuad Wira Merah itu, yang amat mengharapkan kemenangan selepas dilanda pelbagai masalah akibat hukuman yang dikenakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Bagaimanapun, aksi kedua-dua pasukan pada 10 minit pertama berlangsung hambar dengan bola banyak berlegar di tengah padang dan sesekali menyaksikan cubaan liar dari rangkaian serangan masing-masing.

Sehingga di minit ke-20 apabila penyerang Kelantan, Che Hishamuddin Hassan yang saling bertukar hantaran dengan Indra Putra Mahayuddin melakukan rembatan dalam petak penalti, namun penjaga gol KL PLUS, Razi Effandi Suhit berjaya menepis bola keluar.

Kelantan memperolehi gol pertama pada minit ke-34 apabila pertahanan kiri, Zairul melakukan sepakan voli dari luar kotak penalti selepas pertahanan KL PLUS cuba mengeluarkan bola sepakan percuma Mohd. Zamri Ramli.

Sementara itu, Perak turut mencatat kemenangan pertamanya selepas mengalami lima kekalahan berturut-turut apabila menundukkan Kedah 1-0 di Stadium Perak, Ipoh.

Gol kemenangan pasukan tuan rumah diperoleh pada minit ke-47 menerusi Razali Umar Kandasamy, yang mengambil kesempatan ketika keadaan kelam kabut dalam kotak penalti.

Dalam satu lagi perlawanan, Mohd. Ashaari Shamsuddin muncul wira Terengganu apabila melakukan hatrik untuk membantu pasukannya menundukkan Johor FC 3-2 di Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Terengganu.

Ketiga-tiga gol Ashaari diperoleh pada minit ke-32, 56 dan 90, manakala gol Johor disempurnakan oleh Eddy Helmi Abdul Manan dan Azizan Baba di minit ke-36 dan 68.

0 Komentar untuk "SUKAN : RABU 27 MEI 2009 - KEPUTUSAN LIGA SUPER KEDAH Kalah lagi"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI