Ahmad Kemin kukuh dalam sektor automotif - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Ahmad Kemin kukuh dalam sektor automotif

Oleh NOR SEDEK ISMAIL (WARTAWAN UTUSAN)

BANGUNAN Mutiara Motors Sdn. Bhd. tersergam di tepi Jalan Tebrau. Ia merupakan mercu tanda bagi mereka yang menggunakan laluan tersebut untuk ke bandar raya Johor Bahru.

Di atas bumbung bangunan berbentuk bulat setinggi lima tingkat itu terdapat sebuah kereta, sengaja diletakkan bagi menarik perhatian sesiapa sahaja yang melepasi premis berkenaan.

Pemilik Mutiara Motors , Datuk Ahmad Kemin, yang juga pengasas dan Pengerusi Eksekutif Mutiara Motors sudah lama terlibat dengan perniagaan mengimport kereta, menjual kereta jenama Toyota dan mengedar minyak pelincir buatan Jepun.

Dilihat daripada bangunannya, dapat dibaca bahawa bukan kecil kejayaan yang diraih Mutiara Motors dan tentu sahaja pemiliknya.

Tetapi selain bangunan dan simbolik kereta di bumbungnya, ia menonjolkan seperkara yang jelas iaitu kejayaan yang beliau capai sekarang mencerminkan orang Melayu boleh berjaya dalam perniagaan automotif, sebagai mana ahli perniagaan kaum lain yang sudah jauh ke hadapan.

Mutiara Motors ialah pengedar Toyota terbesar di Johor serta disegani di negeri itu.

Ketika Ahmad memulakan perniagaan, sektor automotif di Johor dikuasai oleh bukan bumiputera.

Kini meniti usia 60 tahun, Ahmad sudah pastinya berbangga dengan kejayaan itu yang tidak pernah diimpikannya.

Bermula dengan menjadi ejen menjual kereta-kereta import dan kini menjadi pengedar kereta jenama Toyota, Mutiara Motors turut mengendalikan pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) di Plentong, Johor Bahru.

Jika dulu beliau terpaksa melakukan banyak kerja sendiri untuk menjimatkan kos pengurusan tetapi kini itu semua digalas bersama lebih 100 kakitangan. Menariknya, pekerja syarikat pula terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India, yang menjadi pekerja sokongan atau tenaga pakar.

Cerita kejayaannya bukan terbatas kepada bilangan petugas yang ramai. Lebih daripada itu, hasil hubungan rapat dengan syarikat-syarikat automotif di Jepun, Mutiara Motors menerusi anak syarikatnya, Mutiara Motors Performance Products Sdn. Bhd., turut diberi kepercayaan menjadi pengedar tunggal untuk alat ganti kereta berprestasi tinggi berjenama Trust/GReddy dari negara matahari terbit itu sejak 1997.

Pengedarannya meliputi Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia. Menurut Ahmad, pasaran untuk alat ganti itu akan dikembangkan ke Australia dan New Zealand tidak lama lagi.

Pada masa sama, Mutiara Motors turut mengedar produk minyak pelincir yang dikeluar dan dibungkus di Jepun menggunakan jenama M7 sejak 1997 khusus bagi kereta-kereta buatan Jepun di negara ini.

Kejayaan demi kejayaan itu bukan berlaku sekelip mata, malah Ahmad semasa ditemui baru-baru ini mengakui pernah dua kali mengalami detik cemas sehingga hampir diisytihar muflis.

‘‘Walaupun perit, kepayahan itu dilalui penuh keazaman. Sebelum ini saya pekerja biasa di Jabatan Kerja Raya (JKR) di Johor Bahru dan pernah berjanji pada diri sendiri tidak akan makan gaji selama-lamanya.

‘‘Berkecimpung dalam Mutiara Motors ini adalah cerminan azam dan cita-cita itu. Ia sudah tercapai malah melangkaui impian yang disematkan sebelum ini,’’ ujar Ahmad.

Ditanya jika beliau telah puas melihat kejayaan yang dicapai, Ahmad dengan jujur serta tegas mengakui, belum. “Bukan kerana tamak, tetapi masih terlalu banyak perlu diterokai dalam dunia permotoran,’’ ujar beliau sebelum menambah bahawa bidang berkenaan terus berkembang maju selari kemajuan teknologi moden.

Mengenai tenaga yang semakin tua, baginya, faktor usia bukan penghalang kerana kesungguhan dan sikap tidak pernah putus asa mengatasi segala rintangan untuk berjaya amat penting, lebih-lebih pada masa sekarang.

Ahmad turut memegang prinsip hingga menjadikannya berjaya. Beliau berkata, apa yang menjadi amalannya selama ini ialah jujur dan rendah diri.

Membicarakan visi syarikat, katanya, perancangan terdekat Mutiara Motors ialah membina sebuah bangunan lima tingkat di tapak seluas 0.6 hektar di Larkin.

Bangunan berbentuk bujur yang dianggarkan berharga RM10 hingga RM12 juta itu bakal menjadi ruang pameran dan niaga untuk kereta-kereta import selain Toyota. Kelainan yang akan dibuat, kata Ahmad, ialah di ruang legar turut terdapat tempay menyediakan makanan ringan bagi keselesaan pengunjung.

Datuk kepada lima orang cucu ini turut melahirkan rasa syukur apabila asas yang dibina 25 tahun lalu kini mendapat sokongan dan komitmen sepenuhnya daripada tiga orang anaknya.

Anak sulungnya, Mokhtar, 34, menjadi Pengarah Urusan kumpulan, adiknya Mahani, 32, pula pengarah yang mengendalikan hal ehwal kewangan manakala Mahathir, 30, diberi amanah sebagai pengarah bidang jualan dan pemasaran.

Gandingan tiga beradik ini, kata Ahmad membolehkan Mutiara Motors berada di landasan yang betul untuk terus kekal kukuh dan bersaing.

0 Komentar untuk "Ahmad Kemin kukuh dalam sektor automotif"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI