SEJAK kebelakangan ini, kita sering melihat golongan selebriti memilih untuk menceburi pelbagai cabang seni atas faktor versatil.
Begitu jugalah dengan anak kelahiran Maran, Pahang ini yang sebenarnya bermula kariernya sebagai pengacara selepas menjadi naib juara program On Air.
Bagaimanapun tidak terhad pamer kepetahan bercakap di depan kamera sebagai pengacara, Hefny Sahad juga turut mempunyai bakat dalam bidang lakonan.
Antara lakonan menaikkan namanya adalah MAID dan diikuti drama Awak Sangat Nakal.
Terbaru, jejaka berusia 30 tahun ini membuktikan pula kemampuan lakonannya menerusi watak berat dalam drama genre psiko thriller berjudul Di Sebalik Wajah.
Drama bersiri 30 episod yang menampilkan Diana Danielle dan Aliff Aziz selaku watak utama sudah mula disiarkan sejak 1 Mei lalu di saluran Hypp Sensasi (HyppTV).
Menurut Hefny, biarpun sering menerima tawaran lakonan, namun keutamaan tetap pada bidang pengacaraan.
“Saya bermula sebagai pengacara On Air dan sejujurnya, saya letak bidang pengacaraan sebagai major kerjaya saya.
“Bahkan sebenarnya selain berlakon, saya banyak juga kendali majlis makan malam, pelancaran program dan program lain seperti Muzik Muzik.
“Pada masa sama, saya juga cuba cabang penyampai radio kerana saya lihat ia juga uji skill penyampaian kita walaupun kita tidak berhadapan dengan kamera.
“Disebabkan saya hanya terikat dengan Sinar FM seminggu sekali menerusi carta lagu, jadi tidak sukar untuk saya terlibat lakonan pula,” ujarnya kepada Media Hiburan ketika ditemui, baru-baru ini.
Tambah Hefny, dia melihat bidang pengacaraan dan lakonan memberi kepuasan berbeza dan membuatkan dia seronok berada dalam dua cabang berlainan.
“Pengacaraan kita dapat kepuasan lepas habis mengacara. Manakala lakonan pula walaupun penat kerana ada banyak benda kita nak buat, tapi kepuasan datang selepas lakonan disiarkan di kaca TV.
“Selain itu, bila berlakon, kita dapat cuba pelbagai karakter dan bila kita dapat apa kita impi, kita akan lagi puas,” katanya yang impi membawakan karakter aksi selepas ini.
Ditanya lakonannya dalam Di Sebalik Wajah, Hefny berkata, dia bawa watak sebagai Farid atau Red, wartawan jenayah serius.
“Ada satu peristiwa yang berlaku bawa saya ke dalam konflik rumit bersama Aliff Aziz dan Diana.
“Sebenarnya saya pertama kali bekerja dengan mereka dan mula-mula berjumpa mereka, saya ingat sombong.
“Tapi bila bekerja bersama, memang baik dan ramah. Malah kami cuba saling menyokong watak antara satu sama lain agar lakonan nampak lebih berkesan,” ujarnya.
Belajar dari pengalaman
Sementara itu, ditanya peristiwa pahit yang pernah dilalui sepanjang lima tahun berada di dalam industri, Hefny mendedahkan kontroversi yang pernah melandanya satu ketika dulu hampir ranapkan kariernya dalam industri.
“Seingat saya hanya ada satu sahaja kontroversi yang pernah melanda saya dan ia beri reputasi buruk terhadap karier saya.
“Dek kontroversi itu, saya down dan tiada kerja.
“Ia juga beri kesan kepada ibu saya apabila ke mana saja pergi, orang tanya,” imbaunya.
0 Komentar untuk "Hefny Sahad cari kepuasan"