PRN Sarawak: Mencongak Sentuhan Magis 'Apai Besar' - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

PRN Sarawak: Mencongak Sentuhan Magis 'Apai Besar'

CERITA peminat politik Sarawak kini bukan lagi soal siapa menang, tetapi kini lebih menjurus kepada persoalan jumlah kerusi yang boleh dimenang parti bertanding pada hari mengundi Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN-11).

Sana sini orang mula mencongak jumlah kerusi yang bakal dikuasai pasukan ‘apai besar’, Tan Sri Adenan Satem, khususnya selepas usaha kerasnya memenangi kembali hati pengundi di kawasan majoriti Cina.

Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abang Johari Tun Openg yakin parti itu akan menyapu bersih 40 kerusi yang ditandingi mereka.

Ia termasuk lima kerusi baharu yang ditandingi PBB iaitu N17 Stakan, N26 Gedong, N40 Kabong, N57 Telian dan N63 Bukit Goram.

Kelima-lima kerusi ini adalah pecahan daripada kerusi yang dimenangi PBB pada pilihan raya 2011.

Selain lima kerusi itu, Abang Johari juga yakin 35 kerusi lagi milik PBB mampu dikekalkan.

Untuk mentadbir semula kerajaan, BN perlu menang sekurang-kurangnya 55 daripada 82 kerusi bagi membentuk majoriti mudah dua per tiga.

Angka itu mungkin bukan mimpi di siang hari jika tiga lagi parti komponen BN iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) berjaya mempertahankan kedudukan masing-masing.

Berdasarkan congakan mudah, kemenangan akan berpihak kepada BN jika semua kerusi yang dimenangi sebelum ini berjaya dipertahankan dengan syarat SUPP dan SPDP tidak mensabotaj calon langsung BN yang terdiri daripada serpihan mereka akibat perpecahan dalaman.

Maknanya kerusi yang ditandingi calon langsung BN iaitu N1 Opar, N19 Mambong, N33 Engkelili, N47 Pakan, N53 Bawang Assan, N71 Bekenu, dan N80 Batu Danau juga perlu dipertahankan walaupun mereka sebelum ini bertanding atas tiket SUPP dan SPDP.

Pada tahap ini, angka paling munasabah untuk dimenangi BN ialah antara 60 hingga maksimum 66 kerusi.

Maknanya congakan tersebut berdasarkan perkiraan 40 dimenangi PBB, PRS (8),  SPDP (3), SUPP (2) dan tujuh bagi calon langsung menjadikan jumlah kerusi yang berpotensi menjadi milik BN adalah 60.

BN perlu mencari enam lagi kerusi jika ingin menyekat kemaraan pembangkang agar mereka tidak menguasai lebih daripada 16 kerusi di DUN Sarawak.

Enam kerusi yang berpotensi dimenangi BN ialah kerusi baharu yang dipecahkan daripada kawasan dimenangi parti pemerintah itu iaitu N18 Serembu, N23 Bukit Semuja, N78 Mulu, N66 Murum, N70 Samalaju dan merampas semula kerusi N61 Pelagus yang sebelum ini dimenangi wakil Bebas.

Kerusi N78 Mulu, N66 Murum dan N70 Samalaju menyaksikan PKR dan DAP bertembung sesama sendiri.

Tambahan kemenangan bonus bagi BN jika kerusi baharu N13 Batu Kitang boleh dimenangi wakil SUPP, Lo Khere Chiang ekoran pertembungan sesama sendiri antara Abdul Aziz Isa Marindo (DAP) dan Voon Shiak Ni (PKR) yang terperangkap dalam saingan empat penjuru bersama seorang lagi calon Bebas, Datuk Seri Othman Bojeng.

Selain itu, tiga lagi kerusi berpotensi jatuh ke tangan BN ialah N14 Batu Kawah (DAP), N52 Dudong (DAP) dan N81 Ba’kelalan (PKR). Ketiga-tiga kerusi ini dimenangi DAP dengan majoriti tipis pada pilihan raya yang lalu.

Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian diberi tanggungjawab untuk merampas semula kerusi kelabu di N14 Batu Kawah daripada Chstina Chew Wang See (DAP) yang menang dengan majoriti kecil iaitu 543 undi.

Dr Sim dan Christina berhadapan saingan tiga penjuru susulan kemunculan seorang calon Bebas, Liu Thian Leong.

Sementara itu satu lagi kerusi yang mungkin berpaling kepada BN ialah N52 Dudong yang dimenangi Yap Hoi Liong DAP dengan majoriti 317 undi.

Seterusnya satu lagi kerusi kelabu ialah di N81 Ba’kelalan yang dimenangi tipis Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian dengan majoriti 473 undi.

Seorang wartawan kanan tempatan yang berpusat di Kuching berkata, congak-congak pemimpin BN negeri untuk memberi kemenangan sehingga 70 kerusi kepada Adenan mungkin agak bercita-cita tinggi.

Katanya, agak mustahil bagi BN menembusi kerusi dikuasai pengundi Cina dan Bumiputera yang dimenangi DAP dengan undi majoriti lebih 1,000 pada pilihan raya lalu.

“Nak menang semula kerusi-kerusi berkenaan agak mustahil. Tapi tidak mustahil BN membuat kejutan dengan mengurangkan majoriti DAP khususnya di kawasan pinggir bandar,” katanya.

0 Komentar untuk "PRN Sarawak: Mencongak Sentuhan Magis 'Apai Besar'"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI