Astro Beli Hak Cipta 120 Lagu Untuk Program 'Juara Parodi' - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Astro Beli Hak Cipta 120 Lagu Untuk Program 'Juara Parodi'

KUALA LUMPUR: Astro membeli hak cipta sebanyak 120 buah lagu daripada beberapa syarikat rakaman untuk dijadikan parodi dalam program Juara Parodi yang bakal bersiaran pada 6 November depan.

Naib Presiden, Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, stesen televisyen itu mempunyai perancangan untuk mengkomersialkan semula lagu tersebut.

"Bagi mengelakkan timbul apa-apa isu hak cipta untuk parodikan lagu ini, pihak kami sudah membeli hak cipta 120 buah lagu yang akan diparodikan daripada syarikat rakaman dan publishing.

"Selain itu, kami juga ada perancangan untuk menjual semula lagu-lagu ini dalam platform lain. Setakat ini pihak syarikat rakaman teruja dan memberi kerjasama yang baik," ujarnya kepada mStar Online. Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran program Juara Parodi yang diadakan di Hard Rock Cafe, di sini, Rabu.

Program Juara Parodi bersiaran secara langsung pada setiap Jumaat, pukul 10 malam di Astro Warna (saluran 132) bermula 6 November depan.


Awie (kanan) dan Joey antara peserta Juara Parodi.

Selain itu, Khairul Anwar berkata, pihaknya juga mempunyai pasukan yang akan memantau dan diberi garis panduan kepada peserta untuk mengubah lirik-lirik lagu agar tidak menyentuh sensitiviti masyarakat.

"Program ini merupakan idea baru yang bukan mudah. Kami juga akan pastikan lirik yang digunakan itu tidak keterlaluan dan menjadi isu.

"Kita ada team yang pantau lirik yang akan mereka nyanyikan," ujarnya.

Peserta program ini terdiri daripada barisan penyanyi dan pelawak iaitu Awie, Misha Omar, Mark Adam, Tomok, Black, Sam Bunkface, Mawi, Firman, Zahid dan Waris.

Turut menyertainya Ajak & Shahrol Shiro, Shuib (Sepahtu), Rahim R2, Joey & Shuk, Zulin Aziz & Sherry, Azlee & Lan Pet Pet, Yus & Tauke Jambu dan Abam & Fad Bocey.

Dalam pada itu, Khairul Anwar berkata, kekurangan penyanyi wanita yang menyertai program tersebut disebabkan mereka bimbang imej sebagai penyanyi akan rosak apabila menyertai program komedi.

"Kita ada jemput beberapa penyanyi wanita, namin hanya Misha Omar sahaja yang bersetuju untuk menyertai program ini.

Dalam pada itu, katanya, format program ini unik apabila menggabungkan penyanyi dan pelawak dalam satu pasukan dan bertanding setiap minggu mengikut tema yang diberikan.

Katanya, peserta akan diadili oleh juri profesional berdasarkan kriteria yang ditetapkan dengan mewakili sebanyak 70 peratus markah. Manakala. 30 peratus markah adalah menerusi undian khidmat pesanan ringkas pada setiap minggu.

Juara program ini bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM300,000 beserta trofi manakala peserta akhir akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM200,000 beserta trofi untuk setiap kumpulan.

Juara Parodi akan dihoskan oleh Najib Ali dan Dina Nadzir sementara tugas juri akan digalas oleh Afdlin Shauki dan Zainal Abidin.

0 Komentar untuk "Astro Beli Hak Cipta 120 Lagu Untuk Program 'Juara Parodi'"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI