JOHOR BAHARU: Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin nampaknya tidak berselindung apabila menyentuh rasa hati dan perasaan orang Johor berhubung pelbagai isu dan kemelut yang sedang melanda kepimpinan dan negara buat masa ini walaupun di hadapan presiden partinya sendiri.
Tetapi beliau melakukannya dengan gaya orang Johor bak pepatah Laksamana Hang Tuah; "Menurut biar akal, menentang biar beradab."
Sebelum Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Dewan Taman Mawar, Pasir Gudang pada pagi Ahad untuk merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pasir Gudang yang diterajuinya, Khaled telah berpesan kepada para perwakilan supaya menjaga adab dan tertib mereka walau sebesar mana sekali pun mereka tidak puas hati dengan keputusan Najib untuk menguggurkan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga isu berkaitan 1MDB.
Mereka akur. Najib tiba dan disambut masuk ke dewan dengan tangan yang terbuka dan hati yang besar.
Dan Mohamed Khaled memulakan ucapan alu-aluannya dengan berkata, kesempatan untuk bertemu presiden parti sangat bermakna kerana dua sebab.
Pertama, ia berlaku dalam bulan Syawal iaitu bulan umat Islam meraikan rakan taulan dan memohon maaf zahir dan batin.
Yang kedua, kata Khaled, kehadiran Najib juga akan memberi peluang dan ruang yang terbaik untuk presiden Umno itu secara langsung mendengar suara hati rakyat Johor terutama pada ketika dan saat Umno itu sendiri sedang mendepani pelbagai cabaran.
Sudah tentulah Najib secara zahirnya tidak akan berpeluang mendengar apa yang bakal diucapkan para perwakilan kerana beliau hanya hadir untuk merasmikan persidangan ini sahaja.
Lepas itu beliau berangkat pulang. Jadi ucapan Khaled itulah yang dimaksudkan sebagai suara hati rakyat Johor. Khaled berucap mewakili suara hati rakyat Johor.
TANPA SEMBUNYI DAN BERSELINDUNG
Khaled tanpa sembunyi-sembunyi sebaliknya berterus terang menyentuh bagaimana isu-isu seperti 1MDB, Felda, GST, kejatuhan ringgit dan kos sara hidup yang tinggi sehinggalah kepada rombakan terbaru kabinet yang kebetulan melibatkan tokoh utama politik dari Johor, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjadi bualan ramai dan cabaran baru buat parti itu.
"Umno Pasir Gudang akan berkongsi perkara yang sebenar dengan sejujur-jujurnya bukan hanya perkara yang baik-baik dan manis sahaja. Kita tidak mahu menjadi mereka yang hanya menyampaikan perkara baik dan senyum di hadapan namun bercakap dan bertindak sebaliknya di belakang," katanya disambut dengan tepukan gemuruh daripada para perwakilan.
Khaled meneruskan ucapannya dengan berkata, beliau hanya ada beberapa perkara sahaja untuk disampai. Pertama ialah, pada ketika dan waktu ini, semua pendukung Umno harus berlaku benar iaitu mengakui bahawa parti tidak berada dalam kedudukan yang terbaik.
Pendukung Umno di Johor, katanya, berada dalam keadaan yang resah gelisah malah tidak kurang juga yang keliru. Dan bukan itu sahaja, rakyat kebanyakan juga tidak kurang kelirunya, skeptikal, pesimis dan mempersoalkan kewibawaan serta kredibiliti setiap penjelasan dan tindakan yang dibuat oleh Umno dan pucuk pimpinannya.
Apa jua penjelasan dilihat sebagai tidak memadamkan rasa gelisah dan gundah gulana itu malah semakin mengelirukan, tegas Khaled dan semua masalah itu sekarang mula membebani parti berkenaan.
"Dan ia membebani Umno pada saat Umno berhadapan dengan pelbagai masalah lain. Pada saat Umno tidak sekuat dahulu. Pada saat Umno cuba untuk memulihkan dirinya agar menjadi relevan dengan generasi muda.
Dan pada saat Umno sedang berhempas pulas mencari jalan terbaik bagi mendepani demokrasi Malaysia yang semakin matang, " ujar menteri besar itu lagi.Oleh kerana itulah katanya, Umno memerlukan pencerahan dan jalan ke hadapan kepada segala kemelut dan krisis ini.
YANG TERBAIK
Umno Johor jelasnya lagi menyatakan sokongan mereka kepada Najib sebulat suara kerana mahukan semua kemelut ini diselesaikan dengan cara yang telus dan terbaik serta diselesaikan dengan cara mengangkat keadilan dan kebenaran, tidak lebih dari itu.
Najib yang mendengarnya, mengangguk lebih-lebih lagi apabila Khaled berkata Umno Pasir Gudang mengambil pendirian bahawa ruang dan masa mesti diberi kepada pucuk pimpinan untuk perkara ini dirungkaikan dan atas sebab itulah Umno Johor mengalu-alukan dan menghargai janji presiden untuk menyelesaikan hutang berkaitan 1MDB dalam masa enam bulan "dan kami percaya yang ia (janji tersebut) akan tercapai."
Sementara itu, kata Khaled, "kami di Pasir Gudang mengajak semua pihak mendengar segala pandangan akar umbi dengan sabar dan semua mesti diberi ruang untuk menyatakan isi hati mereka walaupun ada yang kritikal, ada yang keras dan ada yang meragukan. Tapi apa daya yang ada pada kita untuk menghalang ini semua."
Kemudian Khaled menambah bahawa pentas politik Malaysia sudah berubah dan perubahan itu berlaku dengan luar biasa sekali. Kita katanya tidak boleh menidakkan sesiapa jua daripada bersuara kerana itu adalah fitrah manusia dan kerana itu juga jiwa demokrasi."
Kebebasan menyatakan pendirian, pandangan dan idea adalah fitrah yang azali. Dan ia bukan sekadar fitrah dan Umno juga budayanya bukan feudal. Parti kita membangun, kuat dan perkasa kerana kita meraikan kepelbagaian pandangan dan rasa. Pada waktu yang sama, Umno sehari demi sehari bergerak menjadi parti siasah moden dan mendukung prinsip pemikiran yang maju.
KEYAKINAN TERHADAP UMNO MAKIN PUDAR
"Tutuplah ruang formal untuk bersuara pasti akan dicari ruang lain untuk mereka menyatakan rasa dan pandangan mereka. Dan dalam kebanyakan keadaan, mereka akan menemui ruang alternatif malah lebih berpengaruh, lebih kuat dan lebih berkesan.
"Terutama di kawasan seperi Pasir Gudang ini kami berhadapan dengan ahli dan pengundi yang urban dan yang sofistikated yang mengambil pusing keadaan di sekeliling mereka. "
Oleh itu, saban hari kami dapat merasakan keyakinan terhadap Umno semakin pudar bukan sahaja daripada rakyat tetapi dari ahli sendiri. Mereka mula radikal dalam soalan dan reaksi mereka. Mereka mula menunjukkan rasa dingin dengan apa jua penjelasan yang kita berikan," ujar Khaled berterus terang di hadapan Najib.
Kerana itu tambahnya, Umno harus mendengar dengan sabar kerana jika Umno mendengar Umno akan memahami aspirasi rakyat dengan lebih mendalam.
Dan Khaled memberi ingatan, Umno tidak harus lupa yang mereka memerintah di zaman generasi baru menguasai keadaan. Zaman ini, katanya, adalah zaman generasi pelapis dan jika Umno mendengar serta mengambil ikhtibar daripada apa yang mereka dengar, sekurang-kurangnya Umno akan bersama generasi ini mencorakkan perjalanan masa depan mereka.
TENTANG NAJIB DAN TAN SRI MUHYIDDIN
Khaled turut berterus terang mengenai kepimpinan parti. Beliau menegaskan yang Umno Johor mengambil pendirian dan ketetapan bahawa Umno hanya perlu ada satu nakhoda iaitu presiden parti dan "kita harus memberikan kepercayaan kepada beliau untuk mengemudi bahtera ini."
"Justeru kerana itu, bila Tan Sri Muhyiddin digugurkan sebagai timbalan perdana menteri, Umno Johor mengambil pendirian untuk menghormati keputusan perdana menteri kerana Umno Johor mengambil ketetapan bahawa urusan kerajaan adalah budi bicara mutlak seorang perdana menteri. Ia mesti dihormati dan didokong walau pun pada hakikatnya ada di kalangan kami yang terluka."
Dan ini beliau tegaskan tanpa berselindung di hadapan Najib bahawa "hormat kami tidak akan berkurang kepada timbalan presiden."
Cara Johor, kata Khaled ialah mendamaikan dan mengajak semua pihak ke arah permuafakatan kerana semuanya adalah bahagian penting dalam keluarga besar Umno.Kerana itulah, tegas beliau lagi, Umno Johor menyeru agar timbalan presiden terus dihormati.
"Mana mungkin kami akan membelakangkan beliau hanya kerana beliau sudah bukan lagi timbalan perdana menteri. Persahabatan kami bukan kerana darjat bukan kerana pangkat bukan kerana gelaran dan sama sekali bukan sekadar upacara dan martabat.
"Kepada Tan Sri Muhyiddin harapan kami ialah semoga dapat terus bersama mendokong perjuangan Umno, memperbaiki bangsa," katanya.
Ketika ini beliau menerima tepukan yang paling gemuruh daripada para perwakilan dan ada yang bangun sambil memberikan tepukan dan sorakan kepada beliau.
Beliau menyambung ucapannya dengan berkata; "Datuk Seri, sebenarnya tiada apa yang kami di Umno Johor dambakan melainkan untuk melihat penyelesaian, melainkan untuk melihat perdamaian dan melainkan untuk melihat kembalinya keyakinan bahawa dalam Umno ini masih ada perjuangan yang harus diteruskan, untuk bangsa Melayu, untuk rakyat Malaysia dan untuk agama Islam, tidak lebih dari itu."
0 Komentar untuk "Khaled Nordin Cakap Tanpa Selindung Di Depan Najib Dengan Gaya Orang Johor"