WSJ Dedah Dokumen Dakwa Dana 1MDB Ke Akaun Peribadi - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

WSJ Dedah Dokumen Dakwa Dana 1MDB Ke Akaun Peribadi

PETALING JAYA: Sembilan dokumen yang memperincikan bagaimana hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) disalurkan ke akaun bank milik Datuk Seri Najib Tun Razak didedahkan The Wall Street Journal (WSJ).

Akhbar bisnes harian antarabangsa itu menerbitkan artikel bertajuk "Dokumen Kerajaan Daripada Siasatan Najib Razak" di laman webnya pada Selasa dengan menyatakan dokumen itu diperoleh daripada "penyiasat kerajaan Malaysia".

Dokumen itu menunjukkan bagaimana pihak bank memindahkan daripada beberapa syarikat ke akaun peribadi Najib pada Mac 2013, Disember 2014 dan Februari 2015.

WSJ juga menyiarkan surat kuasa wakil ke atas bank akaun Najib bertarikh 20 Januari 2014.

Bagaimanapun, beberapa maklumat seperti lima digit terakhir akaun AmIslamic Bank Bhd yang dikatakan milik Najib telah disunting.

Terdahulu pada Selasa, pasukan khas ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan itu memaklumkan enam akaun bank berkaitan penyaluran dana itu dibeku.

Pada Jumaat, WSJ mendakwa siasatan terhadap 1MDB mendapati wang mencecah AS$700 juta disalurkan ke akaun peribadi Najib sebelum pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun, 1MDB menyangkal dakwaan itu, manakala Najib menafikan mengambil sebarang dana untuk kepentingan peribadi dan mendakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bertanggungjawab terhadap pembohongan terbaharu itu.

Pada Ahad, Najib memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ dalam masa terdekat selepas berunding dengan peguamnya.

Setakat ini, WSJ mempertahankan laporan dengan menegaskan pihaknya memiliki dokumen kukuh untuk menyokong dakwaan berkenaan.

Sementara itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pula mengesahkan beliau telah meneliti dokumen berkaitan kes itu.

Gani juga memaklumkan pasukan khas yang ditubuhkan telah menyerbu tiga premis syarikat yang didakwa menyalurkan dana ke akaun peribadi Najib, iaitu SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

0 Komentar untuk "WSJ Dedah Dokumen Dakwa Dana 1MDB Ke Akaun Peribadi"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI