WSJ, Najib dan kedaulatan negara - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

WSJ, Najib dan kedaulatan negara

ADALAH sesuatu yang perlu diberikan keutamaan serius di sini apabila sebuah akhbar perniagaan yang berpengaruh di dunia kebelakangan ini memberikan keprihatinannya terhadap seorang perdana menteri di sebuah negara Islam di Asia Tenggara.

Perkara ini pernah berlaku sekitar akhir dekad 90-an apabila Majalah Time dalam berita muka depan pada Mei 1999 edisi Asia melaporkan dengan dakwaan bahawa keluarga diktator mantan Presiden Suharto telah mengumpul berbilion dolar untuk dipindahkan ke dalam akaun dari bank di Switzerland ke bank ke Austria sebelum beliau meletakkan jawatan.

Namun Suharto dan para peguamnya telah bertindak menyaman Majalah Time dan harus membayar US$106 juta kerana menabur fitnah dan Majalah Time Asia dan enam kakitangannya harus memohon maaf dalam majalah dan akhbar terkemuka di Indonesia dan Majalah Time edisi Asia, Eropah dan Amerika.

 Artikel Majalah Time bertajuk The Family Firm mendakwa Suharto dan anak-anaknya telah mengumpulkan sejumlah AS$ 73 bilion, daripada duit minyak dan pembalakan, hartanah, perbankan dan petrokimia walaupun banyak yang mengalami kerugian semasa krisis kewangan Asia pada 1997.

Artikel ini tidak melihat kepada aspek Najib dan 1MDB, juga laporan dari Sarawak Report tetapi ingin menyoroti agenda asing dan kepentingan The Wall Street Journal (WSJ) sebagai sebuah akhbar dalam menyiar dan melaporkannya kerana dilihat sebagai menggugat kedaulatan negara.

Berhubung dengan isu 1MDB yang didakwa WSJ sebagai kononnya kira-kira AS$700 juta masuk ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak rasanya perlu diamati dan diberikan perhatian serius.

Mengapakah WSJ memberikan perhatian kepada isu ini? Apakah agendanya dan kepentingannya kepada WSJ? Adakah ini bermakna Amerika Syarikat sudah campur tangan dalam isu di negara kita?

Sejak kejadian kehilangan MH370 dan penembakan MH17, AS dikatakan sering secara tidak langsung campur tangan dalam isu negara ini. Dari segi geopolitik, dalam usaha menyaingi kuasa China di Laut China Selatan dan Rusia di Ukraine, AS dilihat seolah-olah ingin menguasai kedua-dua insiden yang berlaku dengan menjadi jurucakapnya. Malaysia seolah-olah tampak kecil atau tidak berwibawa dalam mengendalikan isu tersebut.

Najib menyifatkan dakwaan kononnya beliau mengambil dana kira-kira AS$700 juta (RM2.6 bilion) dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai amat jahat.

Perdana Menteri berkata, tindakan undang-undang yang bakal diambil terhadap pihak-pihak yang membuat tuduhan liar itu akan diputuskan dalam masa terdekat.

Dalam hal ini sepatutnya pihak berkuasa seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan Ambank perlu tampil menafikan laporan itu. Pengesahan daripada BNM dan Ambank itu dapat memperkukuhkan hujah bahawa tiada transaksi berlaku, sekali gus meredakan persepsi rakyat dan masyarakat antarabangsa khusus yang beragama Islam.

Kalau kedua-dua bank ini terus senyap, spekulasi akan terus meliar dan tidak akan meredakan persepsi orang ramai dan di mata antarabangsa yang membaca laporan WSJ.

Selain 1MDB dan kes MH yang tidak selesai, Najib sering menjadi sasaran media antarabangsa dalam banyak isu seperti serangan pengganas Suluk di Lahat Datu, konflik Laut China Selatan yang tidak memperlihatkan pendirian Malaysia, kematian tragik Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis, masalah FGV dan Mara.

 Seolah-olah ada pertalian dari isu dalam negara (kematian Jamaluddin, FGV, Mara) sehinggalah ke isu besar yang di peringkat antarabangsa (MH370, MH17, pengganas Suluk, 1MDB), yang melibatkan imej dan kredibiliti Malaysia di luar negara yang mempunyai perkaitan kepada sesuatu yang lebih besar dalam konteks geopolitik.

Persoalan main golf Najib secara peribadi dengan Presiden AS Barack Obama, lawatan Obama ke Malaysia untuk kali kedua dalam dua jangka masa tahun misalnya, adakah menunjukkan hubungan istimewa kita dengan Washington di mana negara lain di Asia Tenggara kurang diberikan keutamaan?

Adakah ia bertujuan supaya Malaysia menandatangani perjanjian TPP? Atau adakah Malaysia satu-satu negara yang belum dicucuk hidungnya di Asia Tenggara kerana negara-negara seperti Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina sudah berada di bawah telunjuk dan pengaruh AS?

Lebih menggerunkan apabila artikel yang diterbitkan oleh sebuah lagi akhbar berpengaruh Amerika iaitu The New York Times (NYT) bertajuk Jho Low, Well Connected in Malaysia, Has an Appetite for New York bertarikh 8 Februari 2015 boleh dibaca dalam bahasa Melayu dan Mandarin.

Bayangkan artikel dalam NYT boleh diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan Mandarin. Agak hebat juga bagaimana bahasa Melayu dimuatkan dalam NYT.

Terjemahan dalam bahasa Melayu berbunyi "Urusan Pelaburan di AS oleh seorang rakyat Malaysia yang rapat dengan orang ternama menimbulkan tanda tanya".

Apakah agenda NYT dan WSJ sebenarnya ke atas Malaysia dan Najib atau adakah Malaysia sudah menjadi sasaran Amerika sekarang?

* Ismail Hashim Yahaya pensyarah di Fakulti Komunikasi dan Media, Universiti Selangor (Unisel), kampus Shah Alam.

0 Komentar untuk "WSJ, Najib dan kedaulatan negara"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI