Parti baharu: Mujahid diminta lepas jawatan - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Parti baharu: Mujahid diminta lepas jawatan

IPOH - Pas Perak meminta Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusoff Rawa melepaskan jawatan sekiranya mahu menyertai parti politik baharu.

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, perkara itu sewajarnya dilakukan memandangkan Mujahid memenangi kerusi berkenaan atas tiket Pas.

“Pada hakikatnya, Mujahid perlu melepaskan jawatan beliau sekiranya mahu menyertai parti selain Pas.

“Cumanya, yang nak ditekankan dan perlu beliau fahami adalah, setiap Ahli Parlimen Pas mempunyai ‘perjanjian khas’ dengan parti,” katanya ketika dihubungi  semalam.

Sebelum ini, Mujahid dalam kenyataannya membayangkan parti politik baharu akan ditubuhkan untuk mewujudkan suasana politik baharu yang mengambil berat mengenai hak dan kepentingan semua bangsa.

Razman berkata, beliau kesal dengan kenyataan Mujahid selain menyifatkan bekas AJK Pas Pusat itu seolah-olah mengkhianati ahli Pas yang membantunya ketika memenangi kerusi Parlimen terbabit pada PRU13 lalu.

“Kalau tidak masakan dia boleh memenangi kerusi berkenaan tanpa pertolongan jemaah dan penyokong Pas dan PR di sana,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya sebahagian besar penyokong Pas tidak akan mudah terpedaya dengan janji manis yang ditawarkan oleh Mujahid khususnya berkaitan dengan gerakan politik baru.

“Mereka terdesak untuk mengekalkan survival politik masing-masing dan saya percaya ahli parti pun tahu, perjuangan Pas adalah bersifat berjemaah dan memelihara dasar Islam daripada diperkotak-katikkan,” katanya.

Disoal mengenai kenyataannya di Facebook yang mendakwa Pas Perak bakal bertanding di 59 kerusi di negeri ini, Razman berkata, perkara itu hanya andaian berdasarkan situasi terkini PR.

“Keadaan PR sekarang tak menentu dan jika parti baharu itu ditubuhkan dan pada masa sama menyertai PR, Pas mungkin tarik diri dan bertanding di kesemua kerusi terbabit,” katanya.

Menurutnya, perkara itu tidak perlu diperbesarkan berikutan semua keputusan mengenai hala tuju dan masa depan Pas dalam PR bergantung kepada keputusan Majlis Syura Ulama.

“Macam mana pun kita kena tunggu apa akan diputuskan oleh Majlis Syura Ulama sebelum bergerak lebih jauh,” katanya.

0 Komentar untuk "Parti baharu: Mujahid diminta lepas jawatan"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI