Mazlan Salahkan Perwakilan PAS - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Mazlan Salahkan Perwakilan PAS

PETALING JAYA: Bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman menyifatkan keputusan pemilihan Muktamar PAS Ke-61 pada 6 Jun lalu sebagai tidak adil kerana perwakilan gagal membuat pilihan yang munasabah.

Jelas Mazlan, pada awalnya beliau menerima pencalonan untuk jawatan tersebut dengan harapan perwakilan boleh membuat pilihan berdasarkan prestasi semua calon bertanding.

Namun, beliau berkata, undi yang diterjemahkan setiap perwakilan tidak seperti diharapkannya.

Akibatnya, keputusan pada pemilihan itu benar-benar memberi kesan mendalam kepada Mazlan sehingga mendorong beliau untuk meletak jawatan.

"Masa saya buat keputusan untuk terima pencalonan, saya masih mengharapkan perwakilan buat pilihan munasabah dengan mengambil kira soal prestasi semua calon bertanding.

"Kemudian saya dapati keputusan itu tidak adil, perwakilan tidak ambil kira soal prestasi sesetengah pemimpin yang berjasa dan menyumbang kepada parti," katanya.

Malah, Mazlan berkata lebih mengecewakan beliau adalah corak kempen pemilihan yang dianggap tidak sihat apabila 'cai' atau senarai pilihan dikeluarkan pihak tertentu untuk mempengaruhi perwakilan.

"Saya dapati ada kumpulan A dan kumpulan B, mengedarkan senarai nama-nama calon. Sampai mengeluarkan senarai iaitu pemilihan ikut 'cai' itu meletakkan perwakilan dalam keadaan tidak matang dalam buat keputusan sendiri, sedangkan mereka mengenali setiap calon dan tahu prestasi mereka," katanya.

Menurut beliau, hasil daripada 'cai' yang diedarkan, akhirnya berlaku kombinasi yang tidak seimbang dalam barisan kepimpinan baharu parti Islam itu.

"Melalui pemerhatian saya, keputusan akhirnya tidak berlaku kombinasi yang kita perlukan. Saya dapati perwakilan dipengaruhi 'cai' yang dikeluarkan. Ini bukan budaya PAS," katanya.

Mazlan berkata, beliau amat kecewa apabila undi memperlihatkan pemilihan berasaskan kumpulan, blok dan 'cai'.

"Sepatutnya pemilihan berasaskan kepada prestasi atau penilaian, perjuangan dan kegigihan pemimpin sedia ada. Tetapi ia tidak berlaku pada hari ini," katanya.

Jelas beliau, dalam suasana kemelut Pakatan Rakyat yang masih berlum berkesudahan, trend keputusan itu akan terus meletakkan PAS terkebelakang.

"Ini sesuatu bagi saya akhirnya kita akan lihat parti ini pusing balik 30 tahun ke belakang, apatah lagi di saat kita berdepan suasana kemelut dalam Pakatan Rakyat.

"Ia bertentangan dengan prinsip perjuangan parti. Saya tidak boleh bersama parti dalam keadaan seperti ini," katanya.

Terdahulu, Mazlan mengumumkan peletakan jawatan sebagai AJK PAS Pusat berkuatkuasa serta merta pada Isnin.

Mazlan antara 18 AJK PAS Pusat yang baharu dipilih pada pemilihan Muktamar PAS Ke-61 yang diadakan pada 6 Jun lalu.

0 Komentar untuk "Mazlan Salahkan Perwakilan PAS"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI