Tanding jawatan presiden: Ada mesej untuk Hadi - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Tanding jawatan presiden: Ada mesej untuk Hadi

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Wujudnya pencabar bagi jawatan presiden mungkin menandakan bahawa ada mesej yang ingin disampaikan kepada penyandangnya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, Abdul Hadi perlu sedar bahawa penerimaan bekas Naib Presiden Pas, Ahmad Awang terhadap pencalonan jawatan presiden membawa suara tidak puas hati dengan pemerintahannya.

“Mungkin ada yang tidak bersetuju, tetapi beliau (Ahmad) tetap mendapat pencalonan yang cukup dan selayaknya untuk membolehkkannya menentang Abdul Hadi.

"… Ya, barangkali ada mesej yang mahu disampaikan. Beliau mungkin cuba membawa suara tidak puas hati. Apatah lagi beliau dianggap kumpulan yang bersifat pro-Anwar dalam Pas,” katanya kepada Sinar Online.

Ahmad pada Khamis lalu menyerahkan borang penerimaan pencalonan bagi mencabar Abdul Hadi untuk jawatan presiden.

Keputusan Ahmad itu menyaksikan Abdul Hadi dicabar buat pertama kali selepas 12 tahun memegang jawatan nombor satu parti itu.

Ahmad berkata, beliau menerima pencalonan itu kerana mahu memperkasakan parti, sekali gus membuktikan Pas adalah parti demokratik.

Bagaimanapun katanya, sokongan ahli Pas masih utuh terhadap Abdul Hadi meskipun terdapat calon lain bersaing bagi merebut jawatan tertinggi Pas itu.

“Saya rasa kekuatan dan kesetiaan ahli Pas masih pada Abdul Hadi. Walaupun ada yang menentang, ia hanya beri isyarat kepada Abdul Hadi mengenai ketidakpuasan hati mereka.

“Sebilangan besarnya masih berpihak kepada Abdul Hadi,” katanya lagi.

0 Komentar untuk "Tanding jawatan presiden: Ada mesej untuk Hadi"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI