PR dan BN: Sama-sama Bagai Telur Di Hujung Tanduk. - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

PR dan BN: Sama-sama Bagai Telur Di Hujung Tanduk.

Berdasarkan keputusan dua PRK dan isu semasa dalam negara, pelbagai pihak boleh membuat andaian tentang keputusan PRU14 akan datang. Nampaknya UMNO/BN makin parah. Lukanya ditikam dari luar dan dari dalam. PR  tak akan memberi ruang UMNO/BN bernafas  manakala Dr. Mahathir dan sekutu-sekutunya yang nampak bayang-bayang kejatuhan UMNO/BN cuba menyelamatkan dengan ‘ubat atau racun’ yang sungguh berbisa.

PRK Rompin dan Permatang Pauh menyalakan beberapa lampu indikator . Antaranya, PAS masih gagah walaupun bahteranya dibadai gelombang. Tanpa bantuan keras rakan-rakan PR, PAS masih berjaya meruntuhkan hegemoni UMNO/BN meskipun Rompin adalah lubuk mereka. Manakala PKR pula mengekalkan prestasinya dan masih berpotensi terutama di kerusi-kerusi campuran. Itu satu indikator.

Indikator kedua ialah seperti PR dan PAS, BN juga luka dari dalam. Tikaman dari luar dan dalam cukup hebat dan akan semakin hebat selagi PM Najib berada di kerusinya. Mahathir dan sekutu-sekutunya akan menekan Najib sekerap mungkin dalam tempoh terdekat kerana kelewatannya akan menyebabkan UMNO/BN tidak berdaya lagi untuk menghadapi PRU14. Najib mesti diundurkan segera agar UMNO/BN mempunyai masa yang cukup untuk memulihkan kekuatannya dengan teraju yang baru. Ini bukan suatu kerja yang mudah. Najib tidak akan berundur kerana kehilangan kuasa meletakkan beliau kepada bencana. Bukankah Mahathir sudah mengheret kembali isu Altantuya. Lainlah kalau ada syarat-syarat pengunduran yang menjamin ‘keselesaan’nya.

Habis, bagaimana pula dengan 1MDB? Apakah Mahathir akan memaafkan Najib sekiranya Najib sanggup berundur? Itu serangan Mahathir. Bagaimana pula episod penglibatan Tabung Haji dan isu 1MDB? Bukankah ini menyentap terus jantung hati orang Melayu? PR sudah pasti memerah ‘manis ‘ sebagaimana si penjual air tebu memerah batang tebunya sehingga kering dan lumat. Mudah katanya, Najib dan UMNO/BN akan diserang dari segenap penjuru.

Nyalaan dua indikator itu pada litar pada awalnya nampak terang bercahaya. Tapi sebelum sampai ke mentol besar terdapat perintang yang memalapkan mentol besar tadi. Ribut dalam cawan PAS dirasakan akan lebih parah selepas muktamar nanti apabila dijangkakan kumpulan Anwarinas kecundang seorang demi seorang. Apakah mereka akan menunjukkan wajah PASMA mereka atau pun mereka adalah pemimpin berjiwa besar yang meneladani Khalid al-Walid? Politik Malaysia akan kita saksikan.

Bagaimana pula sikap DAP  dan PKR terhadap PAS nanti ? Apakah mereka akan mengalah dalam isu hudud dengan menjadi lebih siuman? Bukankah mereka ada undi di Parlimen untuk menunjukkan sikap mereka? Bukankah itu lebih baik daripada menghancurkan PR? Andai isu dalaman PR dan PAS ini dapat diselesaikan secara harmoni, mentol besar akan terang bernyala di hujungnya pada PRU14. Kata orang tua-tua; tepuk dada tanya selera.

"

................................
Dihantar untuk paparan TKO (Tranungkite)
Oleh: BayangDiAir

0 Komentar untuk "PR dan BN: Sama-sama Bagai Telur Di Hujung Tanduk."

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI