SELEPAS kejayaan telefilem komedi, Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel pada 1998, pengarah prolifik, Mamat Khalid kembali lagi dengan Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya.
Biarpun 16 tahun telah berlalu, Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya masih lagi mengekalkan Delimawati dan Man Kadir sebagai watak utamanya selain turut menampilkan pelakon Imuda, Hazwan Skool Of Lawak, Chacha Maembong dan Sharwani NS.
Lebih menarik, telefilem yang mula bersiaran mulai 23 Oktober (hari ini) di saluran Astro First Eksklusif masih lagi mengekalkan dialek beberapa negeri.
Jelas Mamat, dialek itu bagaimanapun tidak terlalu kasar dan sering digunakan oleh masyarakat kampung.
"Bunyinya agak 'keras' tetapi itu bukan bermakna ia membawa maksud yang tidak baik. Lagipun saya sudah teliti semua dialog dan perkataan dalam skrip drama ini.
"Apa yang penting, cerita dan jenakanya perlu relevan pada era ini," katanya ketika ditemui di majlis previu telefilem berkenaan, baru-baru ini.
Jelas Mamat, kesibukannya dengan pembikinan filem menyebabkan sekuel Rombongan Cik Kiah itu sering tertunda.
"Apabila timbul niat menghasilkannya, saya harus fikirkan isu, jenaka dan pelakon yang relevan dengan keadaan kini.
"Adakah cerita ini sesuai dengan penonton pada masa kini? Itu antara persoalan yang bermain dalam fikiran saya.
"Saya rasa antara isu paling dekat dengan masyarakat adalah ibadah Haji. Sebab itu saya mengambil pendekatan menggunakan cerita rombongan Cik Kiah menghantar jemaah haji ke Kelana Jaya sebelum mereka berlepas ke Tanah Suci Makkah bagi menunaikan Rukun Islam yang kelima untuk kisah kali ini," katanya sambil memberitahu telefilem itu banyak berkisarkan mengenai dirinya dan pengalaman orang di sekelilingnya.
Lanjutan itu, Mamat berkata, ini adalah telefilem terakhir bagi siri Rombongan Cik Kiah.
"Saya berharap agar cerita ini tidak menjadi hanya sekadar karya, tetapi penonton dapat 'sesuatu' apabila menonton filem ini," akhirinya.
0 Komentar untuk "Rombongan Cik Kiah kembali!"