"Membunuh dalam artikel ini bermaksud membunuh karier politik. Ramai beranggapan karier politik Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin berakhir jika Mahkamah Persekutuan yang bersidang sejak Selasa lalu membuat keputusan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan, Mac lalu, berhubung kes Liwat II.
Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu membatalkan keputusan tahun 2012 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur serta mendapati Anwar bersalah atas tuduhan Liwat II dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara.
Dalam Sejarah Melayu, Hang Jebat ketika bertikam dengan Hang Tuah, pernah menuturkan lebih kurang begini: “Tuah, bersungguh benar engkau mahu menikam (membunuh) aku!”. Hang Jebat berkata demikian setelah melihat Hang Tuah beriya-iya dan bersungguh benar mahu menikam dan membunuhnya.
Dalam kes Anwar yang dilihat sebagai Hang Jebat baru tetapi mengekalkan prinsip lama tidak setia melulu, seteru politiknya dilihat banyak pihak, termasuk pengamat luar negara, sebagai beriya-iya dan bersungguh benar mahu membunuh karier politik pemimpin politik ini. Dalam politik, “mematikan” seteru politik bukan sesuatu yang pelik, tetapi cara yang digunakan di negara ini menarik minat sehingga ke negara luar.
Di Barat, skandal tidak dicipta dan diada-adakan, tetapi ia memang wujud, dibongkar dan didedahkan oleh seteru politik. Namun di Malaysia, ada kecederungan untuk mencipta dan mengada-adakan sesuatu yang tidak ada. Inilah unik dan hebatnya Malaysia.
Tidak pelik sebenarnya. Dalam Sejarah Melayu, fitnah memfitnah memang suatu jenis kedahsyatan. Malah senjata Melayu, iaitu Keris, dicipta tidak seperti senjata bangsa lain. Keris berlok dan bergerigis. Musuh bukan sahaja mesti ditikam, tetapi mesti mati dan sengsara kesakitan!
Jika ada mana-mana profesor Sains Politik dari luar negara mahu mengkaji politik baru, mereka patut datang ke Malysia kerana ilmu dan helah politik di sini tidak dapat ditemui dalam politik bangsa lain di dunia.
Penulis mengikuti tuduhan liwat ke atas Anwar sejak hari pertama ia disebut di dunia. Ketika itu penulis bertugas sebagai wartawan di sebuah akhbar harian utama. Sejak hari pertama ia disebut hingga hari ini, penulis tidak pernah percaya ia sebagai benar kerana banyak misteri dan tanda soal yang tidak terjawab hingga ke hari ini, malah makin bertambah.
Butir pembelaan yang disebut pasukan pembela Anwar di Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram sejak Selasa lalu menambahkan lagi banyak misteri dan tanda soal – daripada kewibawaan saksi, DNA, isu penatrasi, kronologi pembuktian, pakar dan polis, K-Y Jelly, lelaki Y serta kemunculan beberapa nama individu politik menjadikan kes ini lebih dramatik.
Seperti kata Gopal, “keraguan yang jelas muncul” dan apabila “perkara itu (keraguan) berlaku”, keputusan mesti diberikan dengan menyebelahi tertuduh.
Tidak siapa tahu dengan pasti apa pembabitan organisasi politik tertentu dan pemimpinnya yang menjadi seteru politik dalam tuduhan liwat ke atas Anwar, tetapi wujud beberapa misteri dan tanda tanya ketara yang memungkinkan sesetengah pihak melihat ada usaha beriya-iya dan bersungguh benar mahu membunuh karier politik Anwar.
Antaranya, tidak cukup lima tahun hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi, pasukan pendakwaan membuat rayuan ia dilanjutkan sehingga 20 tahun. Seperti dilaporkan, pendakwaan dalam kes Liwat II berpendapat hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan ke atas Anwar tidak memadai.
Menurut pasukan itu, hukuman lima tahun penjara tidak memadai berbanding peruntukan 20 tahun penjara dan rotan dalam Seksyen 377B Kanun Keseksaan.
Seperti dilaporkan, Anwar sendiri menganggap rayuan pasukan pendakwaan melanjutkan hukuman sehingga 20 tahun, amat “menjijikkan”.
Selain itu, ramai pemerihati dalam dan luar negara menyifatkan pemilihan Peguam Kanan, Datuk Seri Shafee Abdullah sebagai ketua pendakwaan juga menampakkan kesungguhan untuk memastikan Anwar benar-benar tidak terlepas dari sabitan dan hukuman, sekali gus menguburkan karier politiknya.
Bagi pensyarah undang-undang, Prof Dr Abdul Aziz Bari, pemilihan Shafee “lebih membimbangkan dan sukar dibayangkan” berbanding isu Gopal mewakili Anwar. Gopal turut dikritik kerana dikatakan tidak wajar mewakili Anwar atas kedudukannya sebagai bekas Hakim Mahkamah Persektuan, tetapi pakar undang-undang itu berhujah bahawa tiada yang menghalangnya (Gopal) berbuat demikian kerana ia tidak melanggar mana-mana undang-undang Persekutuan.
Sebaliknya, Pejabat Peguam Negara sebelum ini menerima kritikan kerana melantik Shafee sebagai pendakwa dan bukannya dari kalangan pegawai jabatan tersebut. Penglibatan Shafee dikritik kerana pernah berkhidmat untuk Umno dan peguam itu juga disiasat kerana didakwa mengemukakan afidavit palsu.
Anwar berulang kali berusaha menyingkirkan Shafee dari pasukan pendakwaan, tetapi gagal.
Seteru politik pemimpin rakyat ini juga dilihat sanggup dikritik, dikecam dan diaibkan di peringkat antarabangsa asalkan sosok tubuh bernama Anwar Ibrahim dihumban dan ditamatkan di penjara.
Dalam Sejarah Melayu, Hang Jebat menyerahkan keris Taming Sari kepada Hang Tuah setelah melihat sahabatnya itu beriya-iya dan bersungguh benar mahu menikam dan membunuhnya. Taming Sari bagi Anwar ialah kuasa rakyat. Dan, beliau beranggapan Taming Sari ini tidak boleh diserahkan kepada seteru politiknya!
Mahkamah Persekutuan dijangka membuat keputusan seawal Jumaat ini setelah meneliti hujah pembela dan pendakwa. Kita tunggu dan lihat adakah Anwar benar-benar terbunuh kali ini! – Inimajalah.com
Artikel lain di Inimajalah.com
"................................
Dihantar untuk paparan TKO (Tranungkite)
Oleh: inimajalah
0 Komentar untuk "Bersungguh benar mahu membunuh Anwar?"