4 exco Selangor sokong Khalid akan kekal, kata pemimpin PAS - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

4 exco Selangor sokong Khalid akan kekal, kata pemimpin PAS

Empat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) PAS yang dikekalkan PAS Pusat dalam pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim lalu akan dikekalkan dalam barisan exco baharu Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insider, 24 September, 2014.
Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali dipercayai akan mengekalkan semua 4 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) PAS sedia ada dalam barisan exco barunya, kata seorang pemimpin kanan parti itu.

Mereka ialah Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabak Sallehen Mukhyi, Adun Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi dan Adun Selat Klang Dr Halimah Ali.

"Tidak ada sebab untuk MB baru menukar keempat-empat mereka selepas memberikan khidmat cemerlang sebelum ini," kata pemimpin itu kepada The Malaysian Insider.

Azmin hari ini berkata, pemilihan barisan ahli exco baharu sudah diputuskan hasil perbincangan dengan setiap parti komponen Pakatan Rakyat (PR) semalam.
Pertemuan kedua akan diadakan petang ini untuk memuktamadkan nama calon sebelum menyerahkan senarai terbabit kepada Sultan esok.

"Kita akan selesaikan proses ini pada Khamis sebelum menghadap Sultan Selangor dan majlis angkat sumpah pada Jumaat," katanya sebelum mempengerusikan taklimat di Bangunan SUK di Shah Alam pagi ini.

Sebelum Azmin dilantik memegang jawatan ini semalam, 4 exco tersebut terus kekal dalam kerajaan negeri Selangor walaupun Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah menjadi menteri besar bebas tanpa parti selepas dipecat daripada PKR awal bulan lalu.

Ekoran itu, DAP menyifatkan keempat-empat mereka sebagai pengkhianat kepada PR kerana terus bersama Khalid walaupun semua rakan exco daripada PKR dan DAP dipecat oleh beliau.

Namun, PAS mempertahankan 4 exco ini kerana mereka berada di situ atas keputusan parti  untuk mempertahankan kerajaan negeri daripada mengadakan pilihan raya semula.

Ekoran itu, Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan sikap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang masih menyerang PAS dan menuduh 4 exco itu sebagai pengkhianat.

Mahfuz berkata, Lim perlu faham tindakan PAS Pusat mengarahkan exconya tidak meletakkan jawatan kerana mahu menyelamatkan Selangor daripada risiko pembubaran DUN akibat ketiadaan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk menjalankan fungsi eksekutif negeri.

"Menuduh exco PAS sebagai pengkhianat dalam keadaan mereka berusaha untuk menyelamatkan kerajaan PR Selangor adalah suatu tindakan yang amat tidak wajar," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, Badan Perhubungan PAS Selangor akan mengadakan mesyuarat malam ini bagi mengambil sikap bersama selepas Azmin dilantik menjadi menteri besar.

Ia akan dipengerusikan oleh Iskandar dan bakal disertai semua 24 yang dipertua dan setiausaha PAS kawasan di seluruh Selangor di samping ahli-ahli Perhubungan PAS negeri lain.

Terdahulu hari ini di Pengkalan Kubor, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khalid Samad mengesahkan dua Adun PAS yang menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor tidak akan dilantik sebagai exco.

Katanya, sekiranya Azmin berkeras mahu melantik Adun Hulu Klang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharuddin, pastinya akan timbul pelbagai salah faham di kalangan masyarakat.

“Jika mereka dicadangkan sekali pun, dan menerimanya, maka khuatir akan timbul salah faham seolah-olah jawatan itu bukan diberikan atas dasar kebolehan tetapi dasar mereka menyokong.

“Itu tidak akan menimbulkan keadaan yang baik. Saya rasa mereka berdua memahami siuasi itu. Mereka pun nak buktikan mereka berikan sokongan itu tanpa mengharapkan apa-apa balasan,” katanya. – 24 September, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/4-exco-selangor-daripada-pas-akan-kekal-kata-pemimpin-pas#sthash.N51yUV0T.dpuf
0 Komentar untuk "4 exco Selangor sokong Khalid akan kekal, kata pemimpin PAS "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI