2 Adun PAS Selangor ‘belot’ tidak akan dilantik exco, kata Khalid Samad - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

2 Adun PAS Selangor ‘belot’ tidak akan dilantik exco, kata Khalid Samad

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khalid Samad yakin Adun Hulu Klang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharuddin akan menerima keputusan parti tidak melantik mereka sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi mengelakkan salah faham masyarakat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 24 September, 2014.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khalid Samad hari ini mengesahkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS yang menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor tidak akan dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Beliau berkata, sekiranya Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkeras mahu melantik Adun Hulu Klang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharuddin, maka pastinya akan timbul pelbagai salah faham di kalangan masyarakat.

“Tak akan dilantik kerana jika mereka dicadangkan sekali pun dan menerima, maka khuatir akan timbul salah faham seolah-olah jawatan itu bukan diberikan atas dasar kebolehan tetapi dasar mereka menyokong.



“Itu tidak akan menimbulkan keadaan yang baik. Saya rasa mereka berdua memahami siuasi itu. Mereka pun nak buktikan mereka berikan sokongan itu tanpa mengharapkan apa-apa balasan,” katanya kepada pemberita di Markas Besar PAS di Pengkalan Kubor, hari ini.
Azmin hari ini berkata pemilihan barisan ahli exco baharu sudah diputuskan dan keputusan dicapai melalui hasil perbincangan dengan setiap parti komponen Pakatan Rakyat (PR) semalam.

Pertemuan kedua akan diadakan petang ini untuk memuktamadkan nama-nama calon sebelum menyerahkan senarai nama terbabit kepada Sultan esok.

Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa enggan mengesahkan sama ada barisan exco terdahulu dilantik semula atau digugurkan.

"Itu terpulang kepada cadangan daripada parti masing-masing yang kita akan teliti dan bincang," katanya kepada pemberita di Bangunan SUK di Shah Alam pagi ini.

Khalid berkata apa yang dilakukan Saari dan Hasnul adalah berdasarkan ijtihad mereka sendiri bagi membuktikan bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid sudah tidak mempunyai sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, apa yang perlu dilakukan dua Adun itu ialah kembali meyakinkan ahli PAS mereka tidak meninggalkan parti dan berdepan dengan pucuk pimpinan parti Islam berkenaan.

“Mereka ada ijtihad sendiri penting untuk pastikan Khalid tiada majoriti. Saya yakin jika Azmin tawarkan kepada mereka sekali pun, mereka cukup pintar untuk memahami satu implikasi yang tidak diinginkan.

“Mereka perlu terus bersama PAS dan ingatkan orang PAS mereka tidak pernah keluar PAS. Mereka tidak lompat parti. Jika mereka ditawarkan (exco), mereka perlu merujuk kembali kepada pimpinan dan secara peribadi lebih baik tidak diterima,” katanya.

Ketika diminta mengulas ucapan penggulungan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa muktamar minggu lalu, Khalid berkata ucapan dasar presiden sebenarnya perlu dirujuk.

Katanya, ucapan dasar presiden merupakan ucapan yang diluluskan, rasmi dan diterima perwakilan semasa muktamar minggu lalu.

“Ucapan dasar ucapan rasmi yang sudah dibahas dan diluluskan muktamar. Sekarang ini terlalu banyak menekankan ucapan penangguhan yang sebaik-baiknya kembali kepada ucapan dasar.

“Saya kesal terlalu banyak penekanan kepada ucapan penggulungan. Ucapan dasar ialah pendirian PAS kerana ia ucapan yang dibahas perwaklilan, diluluskan dan diterima.

“Itu hala tuju secara rasmi. Seharusnya kita kembali kepada isi kandungan ucapan dasar kerana itu yang rasmi. Ucapan lain adalah sampingan dan ada pengajaran. Jika berkata tentang hala tuju PAS, ucapan dasar presiden, itulah hala tuju PAS,” katanya.

Ketika ditanya mengenai penghujung muktamar yang masih gagal menyelesaikan permasalahan dalam PAS, Khalid berkata: “Semua muktamar tak selesaikan semua masalah. Pasti ada yang berterusan. Kebanyakan ucapan penangguhan memang nak membawa kepada merapatkan saf.” – 24 September, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/2-adun-pas-selangor-belot-tidak-akan-dilantik-exco-kata-khalid-samad#sthash.jOpbtr32.dpuf
0 Komentar untuk "2 Adun PAS Selangor ‘belot’ tidak akan dilantik exco, kata Khalid Samad"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI