Saifuddin: Abdul Khalid masih MB Selangor - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Saifuddin: Abdul Khalid masih MB Selangor

PETALING JAYA - Berdasarkan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih lagi Menteri Besar Selangor yang sah.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagaimanapun Abdul Khalid tidak lagi mempunyai sokongan majoriti berdasarkan faktor keputusan DAP dan PKR tidak lagi menyokong beliau.

"Kena faham, dari segi undang-undang tubuh negeri, adalah memang jelas beliau tidak ada majoriti lagi di Dun... kenapa?

"Sebab beliau sudah dipecat dari parti, dan PKR beserta DAP sudah menarik sokongan terhadap beliau.

“Abdul Khalid tidak lagi mempunyai majoriti sokongan Adun Selangor dan sebab itu tidak memenuhi syarat untuk terus memegang jawatan menteri besar, " katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam sidang media sama, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Dr Tan Kee Kwong mengumumkan pemecatan Abdul Khalid Ibrahim daripada PKR yang berkuat kuasa serta-merta.

Menurutnya, Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR membuat keputusan itu berdasarkan tindakan Abdul Khalid mengingkari arahan parti untuk meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu.

Selain itu, kata Tee Kwong lagi, Abdul Khalid juga telah ingkar beberapa keputusan yang dibuat Majlis Presiden PR.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin menambah. PKR akan membentangkan usul undi tidak percaya terhadap Abdul Khalid dalam Dewan Undangan Negeri bertujuan menyingkirkannya daripada jawatan berkenaan secara sah. - Bernama
0 Komentar untuk "Saifuddin: Abdul Khalid masih MB Selangor"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI