Rafizi wajar tutup mulut, kata Shuhaimi - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Rafizi wajar tutup mulut, kata Shuhaimi

Adun Sri Muda Shuhaimi Shafiei berkata tindakan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mengeluarkan kenyataan menggesa wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) tidak menerima sebarang pencalonan menteri besar sebagai tidak wajar. – Gambar fail The Malaysian Insider, 29 Ogos, 2014.
Rafizi Ramli hari ini dikecam ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor gara-gara kenyataannya menggesa wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) tidak menerima sebarang pencalonan menteri besar menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Adun Sri Muda Shuhaimi Shafiei berkata tindakan Naib Presiden PKR itu dilihat bukan sahaja menghina Adun Selangor, malah tidak wajar dilakukan seorang yang memegang jawatan tinggi, terutamanya apabila ia dibuat melalui kenyataan media.

Dakwanya, ini bukan pertama kali Rafizi membuat kenyataan yang disifatkan merosakkan hubungan PR, malah kenyataan terbarunya itu juga sudah ke tahap melebarkan perbezaan pendapat dalam gabungan pembangkang itu.



"Tidak perlu saya dan rakan rakan Adun diarah menarik diri kerana kami bukanlah orang yang dicalonkan sebagai menteri besar. Gesaan beliau dilihat sangat tidak manis, seolah-olah kami tidak ada pendirian selama ini.
"Cara beliau memberikan gambaran hanya pendapat beliau seorang sahaja yang bernas dan beliau sahaja yang layak memberikan pendapat lalu dengan mudahnya memaksakan kepada orang lain. Ini sangat perlu dielakkan," katanya.

Katanya, dia sangat terkejut dengan gesaan Rafizi dan disebabkan Rafizi membuat saranannya melalui media, dia juga menjawab gesaan itu melalui media.

Shuhaimi berkata pengarah strategi PKR itu seharusnya membawa cadangannya itu ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) untuk dibincangkan.

"Siapa Rafizi yang dilihat memaksa saya membuat itu dan ini? Jika beliau mempunyai cadangan yang difikirkan baik, bawalah ke dalam mesyuarat untuk kita bincangkan, perhalusi dan membuat keputusan.

"Hakikat yang semua Adun sudah menandatangani akuan sumpah menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bukti jelas lagi terbuka sokongan padu saya dan rakan lain untuk akur kepada keputusan parti," katanya.

Shuhaimi memuji tindakan Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad mengeluarkan kenyataan terbuka menolak pencalonan kerana nama beliau dicadangkan Pemuda PAS.

"Walaupun beliau tidak wajib memberikan jawapan balas terbuka begitu kerana ia hanya cadangan rakan sejawatnya, namun saya hormati pendiriannya," katanya.

Adun Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali juga secara terbuka mengatakan beliau mengikut keputusan parti dan menyokong Dr Wan Azizah.

"Justeru, tidak ada kewajaran bagi gesaan Rafizi. Beliau tidak perlu mempertikaikan kesetiaan saya dan rakan rakan lain kepada keputusan parti," katanya.

Dia juga turut memberi amaran kepada Rafizi menghentikan segala perbuatan atau kenyataan yang disifatkan bukan sahaja terburu-buru malah sangat 'janggal'.

"Ia bakal menyerlahkan sikap sebenar seorang anak muda yang gelojoh dan mempunyai agenda peribadi dalam perlantikan menteri besar yang baru ini," katanya.

Sehubungan itu, Shuhaimi menggesa Dr Wan Azizah selaku presiden PKR dan Ketua Umum parti Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur cara melampau Rafizi kerana didakwanya memberi begitu banyak persepsi tidak baik pada PR.

Dia membidas Rafizi yang katanya sering dilihat 'mengungkit' cerita 'Langkah Kajang' meskipun gerakan itu sudah berakhir.

"Pandangan rakyat melihat beliau begitu beria-ia sangat memaksakan sambungan Langkah Kajang untuk diikuti oleh semua orang. Ini sangatlah dikesalkan," katanya.

Katanya, Rafizi seharusnya menutup mulut kerana 'Cerita Langkah Kajang' sudah melabuhkan tirainya dan Khalid sudah mengumumkan mahu meletak jawatan.

"Berilah ruang kepada pihak istana melakukan tugas terakhir mengikut undang undang tubuh negeri dengan teratur," katanya.

Awal hari ini Rafizi dalam kenyataannya menyeru Adun PKR Selangor menolak sebarang pencalonan sebagai menteri besar Selangor oleh pihak tertentu sebagai tanda menghormati keputusan parti.

"Saya menyeru Adun PKR Selangor membuat kenyataan terbuka menarik diri daripada sebarang pencalonan mana-mana pihak sebagai menghormati keputusan sebulat suara PKR yang turut dipersetujui Majlis Pimpinan PR," katanya.– 29 Ogos, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/rafizi-wajar-tutup-mulut-kata-shuhaimi#sthash.P0KRCxgv.dpuf
0 Komentar untuk "Rafizi wajar tutup mulut, kata Shuhaimi"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI