SHAH ALAM - Pas menegaskan perancangan yang dilontarkan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikannya, Dr Mohd Zuhdi Marzuki tidak mewakili pendirian dan keputusan parti itu.

Pengarah Eksekutifnya, Dr Dzulkefly Ahmad mendakwa, kenyataan Zuhdi itu merupakan pandangan peribadi beliau dan perbincangan tidak formal dalam aplikasi whatsapp AJK Pas Pusat yang telah dibocorkan dan kini viral dalam media sosial.

"Pendapat yang dikemukakan Dr Zuhdi merupakan suatu pandangan peribadi beliau yang dikomunikasi melalui media sosial dan bersifat informal.

"Pas sebagai sebuah parti politik lslam yang berjiwa besar meraikan perbezaan pandangan, tidak boleh dipertanggungjawabkan terhadap sebarang kenyataan serta analisis peribadi ahli-ahlinya seandainya menimbulkan kontroversi dan kegusaran umum," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: PKR tuntut Hadi jawab dua perkara ]

Mengulas lanjut, Dzulkefly menambah segala perbincangan dan kajian yang dikongsikan dalam kumpulan whatsapp AJK Pas Pusat yang menimbulkan kontroversi itu tidak menggunakan kaedah "scenario planning".

"Pelbagai senario lain yang merangkumi kemungkinan-kemungkinan termasuk yang paling buruk atau 'worst case' juga telah dibincangkan secara sumbang saran," katanya.

Sehubungan itu, tegasnya Pas tetap konsisten dengan perjuangan PR serta mendukung dasar bersama seperti mana yang diulangi oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.