Selangor arah 3 exco 'siasat' Azmin - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Selangor arah 3 exco 'siasat' Azmin

KUALA SELANGOR - Kerajaan negeri mengarahkan tiga anggota exconya memantau perbelanjaan dana Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) serta mendapatkan laporan pihak terlibat dalam transaksi projek PJ Sentral Development (PJ Sentral) melibatkan anak syarikat PKNS Holdings Sdn Bhd.
 
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, arahan tersebut melibatkan exco Datuk Teng Chang Khim, Iskandar Abdul Samad dan Rodziah Ismail untuk mendapatkan laporan serta penjelasan mengenai transaksi projek berkenaan sebagaimana yang didedahkan Bahagian Audit Dalaman PKNS sebelum ini.
 
Beliau berkata, langkah itu diambil bagi mendapatkan penjelasan dan laporan daripada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali.
 
"Perkara (laporan mengenai PJ Sentral) ini dilakukan oleh Bahagian Audit Dalaman PKNS. Berdasarkan laporan audit dalaman itu, dinyatakan masih belum mendapat keterangan daripada Azmin Ali.
 
"Bagaimanapun, saya telah meminta tiga anggota exco ini membuat penelitian mengenai perkara ini. Saya rasa semua orang yang bertanggungjawab mesti membuat laporan dan penjelasan mengenai perkara tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal berita yang menyatakan bahawa Bahagian Audit Dalaman PKNS gagal mendapatkan penjelasan Azmin berhubung isu anak syarikatnya, PKNS Holdings dalam transaksi berkaitan projek PJ Sentral.
 
Laporan tersebut turut menyatakan pihak audit dalaman PKNS itu gagal meneruskan siasatan mereka ekoran 'kesukaran mendapatkan tarikh yang sesuai' untuk bertemu Azmin yang juga ahli Lembaga Pengarah Bukan Eksekutif, untuk disiasat.
 
Pada 27 Februari lalu, PKNS dilaporkan gagal dalam samannya terhadap Nusa Gapurna Development Sdn Bhd (Nusa Gapurna) dan Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) berhubung pelanggaran perjanjian pemegang saham berkaitan kepentingan dalam PJ Sentral Development Sdn Bhd.
 
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hasnah Mohammed Hashim yang menolak saman itu setelah mendengar keterangan enam saksi dan memerintahkan PKNS membayar kos RM100,000 kepada Nusa Gapurna dan RM50,000 kepada MRCB.  - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/nasional/selangor-arah-3-exco-siasat-azmin-1.292305
0 Komentar untuk "Selangor arah 3 exco 'siasat' Azmin"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI