KUALA LUMPUR - Persetujuan salah satu pihak sama ada ibu atau bapa adalah memadai bagi penentuan agama seorang kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

Dalam jawapannya di Parlimen semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Kerajaan Persekutuan juga tidak bercadang untuk meminda peruntukan undang-undang bagi penukaran agama kanak-kanak bawah 18 tahun.

Beliau merujuk kepada contoh kes Shamala Sathiyaseelan lawan Dr Jeyaganesh C Mogarajah dan Anor pada 2004.\

Dalam kes itu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa agama anak berumur di bawah 18 tahun boleh ditentukan  ibu atau bapa masing-masing.

Mahkamah memutuskan demikian mengikut peruntukan Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan, katanya menjawab soalan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Timur).

"Berdasarkan keputusan kes itu, persetujuan salah satu pihak sahaja adalah memadai dalam penentuan agama seorang kanak-kanak kerana perkataan yang digunakan dalam perkara 12(4) ini adalah 'parent or guardian' bukannya 'parents or guardian' yang mana bermaksud ibu atau bapa atau penjaga.

"Oleh itu, semua pihak perlulah tertakluk kepada undang-undang yang sedang berkuat kuasa memandangkan kerajaan belum meminda apa -apa peruntukan undang-undang," katanya.

Kulasegaran meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan bila Kerajaan Persekutuan akan membuat perubahan undang-undang bagi melaksanakan keputusan Kabinet pada 2009 supaya mengharamkan kes penukaran dan pengislaman anak-anak tanpa mendapat keizinan daripada ibu dan bapa.

Jamil Khir berkata, walaupun mesyuarat Kabinet pada 23 April 2009 memutuskan bahawa agama seseorang kanak-kanak tidak boleh ditukar oleh satu pihak sahaja, sama ada ibu atau bapa atau penjaga, namun kerajaan masih belum bercadang untuk meminda undang-undang berkaitan.

“Semua pihak tertakluk kepada undang-undang yang berkuat kuasa memandangkan kerajaan belum meminda apa-apa peruntukan undang-undang itu,” katanya.