SHAH ALAM - Pas hari ini menyambut baik cadangan Timbalan Perdana Menteri ,Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya ditubuhkan sebuah jawatankuasa di peringkat kebangsaan bagi meneliti isu-isu terkini berkaitan cadangan melaksanakan hudud di Kelantan.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, namun sehingga kini Pas belum menerima surat rasmi mengenai perkara tersebut, oleh itu tambahnya Pas akan bertindak selepas menerima surat rasmi tersebut.

“Kita menyambut baik cadangan tersebut, cuma sehingga kini kita belum menerima surat rasmi mengenai perkara tersebut.

“Bila kita terima surat tersebut kita akan bincang di peringkat jawatankuasa pusat bagi menjayakannya, InsyaALLAH,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Tuan Ibrahim berkata demikian bagi mengulas cadangan Muhyiddin Yassin semalam, mengenai cadangan Umno untuk menubuhkan jawatankuasa teknikal kebangsaan bagi membincangkan secara terperinci mengenai perlaksanaan hudud di Kelantan.

Semalam, Muhyiddin dalam satu kenyataan berkata jawatankuasa itu akan disertai oleh pihak yang arif mengenai hukum hudud termasuk pakar-pakar hukum agama dari luar negara.

“Eloklah adakan perbincangan yang diwakili oleh pakar-pakar. Mungkin jawatankuasa teknikal boleh dibentuk dan dianggotai kalangan wakil kerajaan Persekutuan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Agama Islam Kelantan, tokoh-tokoh agama dan jika didapati sesuai dan perlu jemput pakar di peringkat antarabangsa dari negara Islam yang lain.

“Jawatankuasa ini akan perhalusi segala sudut mengenai hudud ini dan bagaimana pelaksanaannya di Malaysia terutama di Kelantan sama ada ia boleh dilaksana atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita semalam.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/tuan-ibrahim-kita-sambut-baik-cadangan-tpm-1.275404