Wan Azizah jadi Menteri Besar? - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Wan Azizah jadi Menteri Besar?

WAN Azizah Wan Ismail kini bergelar YB semula. Namun hakikatnya  kegembiraannya itu setakat itu sajalah. Walau ia disusul pelbagai spekulasi ekoran propaganda Kajang Move, ia tak lebih sekadar ribut dalam cawan kopi. Kajang Move itu sendiri adalah agenda dalaman PKR.

Spekulasi bahawa Wan Azizah akan gantikan Khalid tak lebih senda gurau kedai kopi. Mereka jadi begini sebab tidak ada kerja melainkan menjalankan pemujaan ke atas Anwar Ibrahim yang sudah menjadi dewa PKR. Justeru bila kesaktian dewa tiba-tiba hilang, dewilah sebagai penggantinya.

Khalid pun tidak pernah dijadikan bahan pemujaan atau dianggap dewa. Namun kedudukan beliau sebagai MB terutama selepas Pilihan Raya Kecil Dun Kajang Ahad lalu jauh daripada tergugat, malah kedudukannya kini makin mantap.

Satu kajian mendapati 78 peratus menolak perlunya Menteri Besar (MB) Selangor digantikan. Malah pada masa sama 84 peratus responden menyokong kewibawaan Khalid. Wan Azizah sendiri sebelum hari pembuangan undi menjelaskan beliau tidak ada minat  menggantikan Khalid.  Maknanya pendekatan dewa dalam hal menurunkan Khalid ini tidak dikongsi oleh si dewi.

Tapi ini tidak bermakna pembantu khas dewa tidak melakukan jolokan. Azmin Ali  secara terbuka baru-baru ini mengalu pelantikan Wan Azizah sebagai MB kerana, “dia juga layak.”

Wan Azizah hampir mencatat satu upset jika ia berjaya melepasi tahap psikologi dengan mengekalkan majoriti diperoleh mantan Adun Kajang, Lee Chin Cheh - 6,824. Malang Wan Azizah  hanya memperoleh 5,379 atau lebih tepat kurang 1,445 dari dulu.

Ia bukan sahaja membuktikan sudah ada tanda jelas pengundi mula meninggalkan PKR, malah secara umum pembangkang gagal mengekalkan momentum apabila hanya 72 peratus keluar mengundi berbanding 88 peratus sebelumnya.

Wan Azizah  kehilangan banyak undi Cina berbanding calon terdahulu. Walaupun ia tokoh jauh diterima berbanding suaminya di kawasan ini, pengundi seperti sudah memberi isyarat.

Wan Azizah mungkin membayangkan dia tidak bercita-cita menjadi MB. Tapi ini politik.

Hari ini cakap lain besok cakap lain. Jika Wan Azizah tiba-tiba berubah fikiran dan mahu menduduki pejabat kerajaan di Shah Alam, maka ibarat proses mencari kehilangan pesawat MH370.

Maknanya, terlalu sukar dan hampir mustahil. Selama ini belum ada seorang wanita pun jadi MB walaupun dari kalangan Umno.

MB bukan macam menteri. Dia dianggap imam atau ketua sesebuah negeri. Dari sudut syarak pun kita tak boleh ambil wanita untuk dijadikan imam atau ketua. Ketua-ketua kecil sebagai menteri tak mengapa sebab ada perdana menteri daripada kalangan lelaki.

Justeru kalau jadi MB tentulah janggal kerana Wan Azizah tidak boleh mengiringi Sultan Selangor solat Jumaat atau solat Aidilfitri di dalam masjid. Ia terpaksa duduk di saf perempuan.

Pas sepatutnya tak boleh menerima hakikat wanita hendak dijadikan MB. Waktu belum berkawan dengan DAP, Pas berulang kali mengkritik tokoh-tokoh wanita diambil jadi menteri. Konon ia unislamik.

Malah satu ketika dulu isu bersalaman dengan bukan muhrim pun dikritik hebat Pas. Umno dituduh mempersenda agama. Tapi sekarang tak tahulah sebab kebelakangan ini Pas melihat saja Anwar atau Wan Azizah dan anak perempuannya bersalam dengan sesiapa saja tanpa mengambil kira soal muhrim.

Kita lihat cubaan ganti Khalid dengan Wan Azizah sebagai langkah mengekalkan momentum politik PKR. Soal rakyat sokong Khalid juga tidak diambil peduli.

BN sedar usaha merampas Selangor bukannya senang kerana sehingga kini rakyat khusus pengundi Cina jauh lebih yakin pada PKR. Ini dibuktikan melalui keputusan PRU13 lagi apabila prestasi BN lebih buruk dari 2008.

Khalid dilihat merupakan faktor yang menghalang usaha BN merangkul semula kuasa.

PKR juga sedar jika mereka singkir Khalid serta menggantikan dengan sesiapa saja termasuklah Wan Azizah sendiri, ia dilihat seperti mereka  membakar jambatan. Ia sangat berisiko dalam memastikan Selangor kekal milik mereka pada PRU14.

Kini, PKR akan merencanakan satu lagi krisis bagi memastikan rakyat memihak mereka. Isu Khalid akan terus dijadikan modal sebagai menarik sokongan rakyat - inilah Kajang Move yang sebenar.

Justeru jangan hairan jika pemimpin tertinggi PKR dengan tidak semena-mena menyetujui pelantikan Azmin Ali sebagai pengganti Khalid. Kita tidak dapat menolak kemungkinan itu.

Tapi sama ada ia berlaku atau tidak, seperkara yang pasti, kedudukan PKR khususnya dan pembangkang amnya di Selangor sudah menunjukkan petanda mengalami kemerosotan populariti berterusan.

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/wan-azizah-jadi-menteri-besar-1.264282
0 Komentar untuk "Wan Azizah jadi Menteri Besar?"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI