SHAH ALAM - Setiap panggilan kecemasan oleh pesawat mempunyai prosedur berbeza untuk mengendalikannya seperti ditetapkan dalam standard prosedur jabatan penerbangan.
Menurut bekas Pegawai Kawalan Trafik Udara (ATC), Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Mustapha Abdul Rahman, 63, bukan semua kecemasan melalui cara yang sama untuk diselesaikan.
“Ketika saya bekerja tahun 1970 hingga 1992, kawalan dilakukan secara manual dan setiap kecemasan atau kemalangan ada prosedur berbeza.
“Masa itu belum guna radar dan tugasan dibahagikan kepada tiga sektor berdasarkan prosedur manual dengan seorang pengawal di setiap sektor,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Beliau yang juga ATC terakhir berhubung dengan juruterbang pesawat MH635 yang terhempas di Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor pada 4 Disember 1977 berkata, sekiranya isyarat kecemasan dikesan di kawasan kawalan, ATC perlu segera menyampaikan maklumat tersebut kepada pihak atasan.
“Beri maklumat kepada ketua terlebih dahulu. Jika berlaku kecemasan dalam kawasan seperti di lapangan terbang, perlu segera panggil bomba dan pihak berkaitan.
"Sekiranya berlaku kemalangan, rampasan atau tidak dapat dihubungi di luar pusat kawalan lain pula, operasi dilakukan,” katanya.
Katanya, setiap ATC akan memantau pesawat di kawasan kawalannya sehingga sempadan pusat kawalan sahaja.
“Bila sebuah pesawat memasuki ruang kawalan lain, kami akan maklumkan kepada mereka pesawat akan memasuki sempadan mereka.
“Apabila sudah memasuki sempadan seperti sempadan Bangkok, Thailand atau berhampiran, tugas pemantauan diserahkan kepada pihak kawalan sebelah pula,” katanya.
Tidak dinafikan katanya, tugas sebagai ATC banyak tekanannya ketika sistem dilakukan secara manual.
“Mengawal lalu lintas udara tanpa bantuan radar adalah kerja yang memerlukan pengawasan lebih tinggi.
“Jika cuaca buruk menambahkan lagi tekanan untuk mengawal lalu lintas udara ketika itu. Namun kini mungkin segalanya mudah dan cara mengendalikan sesuatu kes juga turut berbeza,” katanya
http://www.sinarharian.com.my/semasa/setiap-kecemasan-berbeza-penyelesaian-1.260323
0 Komentar untuk "MH370: Setiap kecemasan berbeza penyelesaian"