BALING - Penceramah bebas, Kazim Elias al-Hafiz menasihatkan agar membuang sikap ‘belah mana’ di kalangan masyarakat setempat.
Menurutnya, sikap seperti ini tidak akan mendatangkan keuntungan melainkan perpecahan kalangan umat Islam itu sendiri.
“Kalau ada orang bagi ceramah, ada yang dok tanya, ustaz ini belah mana? Penceramah ini belah mana?
“Kalau penceramah tidak berpihak pada mereka, mereka akan boikot walaupun ia adalah majlis ilmu,” katanya semasa ceramah perdana di pekarangan Masjid Kuala Pegang, kelmarin.
Ceramah anjuran Yakin Bijak Enterprise itu berjaya menarik ribuan penonton termasuk golongan muda sepanjang ceramah itu.
Ceramah yang bertajuk Membawa Hijrah Membawa Berkat itu turut menekankan mengenai cara berdakwah yang boleh diterima orang ramai.
Kazim berkata, tidak sukar untuk mengajak untuk kebaikan asalkan diri kita sendiri berusaha untuk melakukan kebaikan.
“Kita tidak boleh sekadar bercakap sahaja, tetapi perlu memberikan teguran kepada setiap kemungkaran dengan cara yang berhemah.
“Nak tegur, tak boleh marah, kena cakap baik-baik, insya-ALLAH, akan terbuka hati mereka itu,” katanya.
Sementara itu, Penganjur Program, Shaari Ahmad berkata, dia bersyukur kerana program ceramah ini mendapat sambutan penduduk di daerah itu.
“Alhamdulillah, ramai golongan muda yang hadir dan ada yang datang awal untuk melihat ceramah Ustaz Kazim,” katanya.
Salah seorang penonton muda, Ahmad Mukhlis Shah Ahmad, 21, dari Kampung Landak Paya berkata, inisiatif penganjur mengadakan ceramah Ustaz Kazim amat dihargai.
Menurutnya, kebanyakan golongan muda meminati penceramah yang santai tambahan pula ia disampaikan penceramah terkenal.
“Selalunya kami tengok dalam laman sosial dan televisyen sahaja, kali ini, dapat dengar dan lihat secara terus. Banyak nasihat yang berguna untuk golongan muda seperti kami,” katanya
http://www.sinarharian.com.my/nasional/kazim-buang-sikap-belah-mana-1.260435
0 Komentar untuk "Kazim: Buang sikap 'belah mana'"