Dr M khuatir matlamat Wawasan 2020 tak tercapai - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Dr M khuatir matlamat Wawasan 2020 tak tercapai


SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, matlamat Wawasan 2020 menjadikan Malaysia sebagai negara maju tahun 2020 mungkin tidak akan tercapai jika negara hanya memberi tumpuan terhadap aspek kekayaan semata-mata.

Beliau berkata, kerajaan buat masa ini hanya menumpukan usaha meningkatkan pendapatan per kapita rakyat dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang dilihat tidak akan membantu negara mencapai status negara maju.

"Kalau kita nak jadi negara maju, ia tidak terhad kepada kekayaan semata-mata. Untuk mencapai status negara maju, kita perlu mencapai kemajuan dalam perindustrian serta dalam bidang inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Barulah kita boleh jadi negara maju," katanya ketika menjadi anggota panel dalam program Siri Bicara Profesional bersama Tun Dr Mahathir di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya oleh moderator Datuk Kamarudin Meranun yang juga Timbalan Ketua Pengerusi Eksekutif Kumpulan Air Asia mengenai tahap pencapaian Wawasan 2020 yang diilhamkan Dr Mahathir pada 1991.

Wawasan 2020 menggariskan sembilan matlamat utama, termasuk mewujudkan negara Malaysia bersatu untuk dikongsi bersama dan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi.

Dr Mahathir bagaimanapun berkata banyak matlamat yang dirancang kerajaan untuk membangunkan ekonomi berjaya dicapai dalam usaha untuk menjadikan Malaysia negara maju. 

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, beliau tidak bersetuju sekiranya penuntut universiti terlibat dalam kegiatan politik sewaktu menuntut di institusi pengajian tinggi.

"Tumpuan kita sewaktu dalam universiti adalah penguasaan ilmu. Orang lain bayar duit kepada kita untuk dapat ilmu dan kita tidak harus mengecewakan mereka," katanya. - Bernama

 http://www.sinarharian.com.my/nasional/dr-m-khuatir-matlamat-wawasan-2020-tak-tercapai-1.259602
0 Komentar untuk "Dr M khuatir matlamat Wawasan 2020 tak tercapai"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI