MH370: Ada insan tidak berhati perut - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

MH370: Ada insan tidak berhati perut

BAGI sebahagian besar ahli keluarga, kering sudah si air mata. Namun dalam seribu keharuan dan kepiluan, masih ada satu harapan: bahawa akan terjadi keajaiban. Dan doa dipanjatkan dari detik ke detik, semoga MH370 ditemukan.

Tidak hanya keluarga dan sanak-saudara terdekat, seluruh rakyat Malaysia sebenarnya berkongsi kesedihan. Sejak pesawat dengan 227 penumpang dan 12 kru itu hilang dari radar awal pagi Sabtu lalu, seluruh negara berasa hiba dan penuh simpati.

Bukan di tempat kita sahaja, seluruh dunia kini memberi tumpuan, berdebar setiap masa, sambil mengulangi pertanyaan serupa: di manakah pesawat Mas dalam penerbangan dari KL ke Beijing itu? Sampai hari ini soalan itu belum berjawab.

Tentu sekali misteri ini mencengkam perasaan. Betapa sebuah pesawat Boeing 777-200ER – dengan enjin Rolls-Royce Trent 800 – yang dianggap sebagai paling selamat, boleh lenyap begitu sahaja. Tiada tanda-tanda ia terhempas, tiada serpihan pesawat ditemui, tiada signal kecemasan, dan tiada tanda kegagalan teknikal di udara.

Ada yang menghantar nota terakhir kepada ayah tersayang menerusi sms, sebelum berlepas dari KLIA malam itu: “Doakan saya selamat...”

Bayangkan perasaan si ayah setiap kali melihat sms tersebut dalam telefon bimbit.
Ada ibu yang terkedu dan tersedu apabila diberitahu anak kesayangannya adalah di antara penumpang dalam pesawat malang itu.

Ada anak yang luluh perasaan sebaik mengetahui ayah dan ibunya juga dalam penerbangan tersebut. Ada jiwa yang kosong kepiluan mengenang nasib kekasihnya. Betapa halnya dua bayi yang juga tersenarai sebagai penumpang.

Pendek kata setiap anggota keluarga terdekat – ayah, ibu, mertua, menantu, opah, anak, suami, isteri dan orang-orang tersayang – semua berduka nestapa atas kehilangan orang-orang tercinta.

Bayangkan apa perasaan kita sekiranya salah seorang penumpang tersebut adalah anggota keluarga kita. Pasti sedih sesedih-sedihnya.

Tetapi, sesetengah kita memang tidak tahu erti sedih. Sebab mereka tiada perasaan, tidak peka. Sebab mereka tidak pandai. Menerusi media sosial mereka meluahkan kata-kata yang tidak sepatutnya dilakukan oleh manusia normal. Memang mereka spesies tidak normal.

Ketika orang lain berduka, mereka bergembira melalui ‘posting’ yang entah apa-apa. Mereka mempersendakan misteri MH370, membuat andaian-andaian yang melucukan.

Mereka menggunakan media sosial untuk bersuka, tanpa sedikit pun menghiraukan perasaan keluarga terdekat mangsa. Kata-kata di media sosial menggores perasaan orang yang dalam duka nestapa. Sampainya hati!

Pemilik media sosial juga menghentam semahu-mahunya pihak berkuasa yang mengendalikan isu malang ini.

Baik pengurusan MAS, Malaysia Airport Berhad, Jabatan Penerbangan Awam, PDRM, Imigresen dan beberapa lagi agensi, semua digambarkan sebagai tidak cekap, korup, lembap dan lain-lain istilah negatif. Macamlah mereka yang menulis di media sosial itu pandai sangat menguruskan krisis seperti ini.

Mudah sahaja sesetengah pemilik media sosial – agaknya mereka buta! – menuduh kita tidak berbuat apa-apa. Pada hal pihak berkuasa telah berhempas pulas – sepanjang 24 jam, keletihan dan tidak cukup tidur – untuk mengendalikan masalah. Semua tahu usaha-usaha mencari dan menyelamat digerakkan tanpa henti sejak hari pertama, dengan aset sumbangan tujuh negara terdiri daripada 35 pesawat dan 47 kapal.

Malah, sesetengah media sosial mengeluarkan pelbagai teori, andaian, petua dan lain-lain kenyataan, seolah-olah merekalah paling bijak menangani masalah ini. Macamlah mereka lebih hebat dan serba tahu daripada juruterbang.

Macamlah mereka tahu sangat mengenai kejuruteraan udara. Pada hal orang biasa pun dapat menilai apa yang mereka teorikan itu semuanya auta. Bercakap menerusi perasaan, bukan fikiran.

Malang sekali dalam era ICT yang serba canggih ini, kita mempunyai sekian banyak pengendali laman sosial yang berlagak sebagai pakar, pada hal mereka kosong. Orang-orang inilah yang selalu muncul semasa krisis dan mengeluarkan pandangan secara hentam kromo untuk syok sendiri, tanpa sedikit pun belas dan peka terhadap perasaan orang lain.

Usah hiraukan mereka yang syok sendiri. Sebagai insan waras, marilah kita semua berdoa semoga MH370 berserta semua kru dan penumpang segera ditemui.

 http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/abdul-jalil-ali/ada-insan-tidak-berhati-perut-1.259616
0 Komentar untuk "MH370: Ada insan tidak berhati perut"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI