Muzakarah strategi kukuhkan parti - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Muzakarah strategi kukuhkan parti

SHAH ALAM - Kesediaan Pas untuk bermuzakarah dengan Umno dilihat sebagai strategi untuk memperkukuhkan parti, bukan sandiwara seperti didakwa sesetengah pihak.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Teknologi, Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Khairie Ahmad berpendapat, ia menunjukkan kematangan Pas membuat percaturan dalam berpolitik.

“Kita tak tolak kemungkinan, suatu masa nanti Pas dan Umno akan bersepakat dalam hal-hal tertentu seperti orang Melayu dan Islam. Sebagai orang luar, mereka akan kata isu muzakarah hanya sandiwara Pas, tapi pada orang politik pula, mereka anggap itu sebagai strategi politik.

“Perkara ini tidak akan timbul menjelang PRU kerana waktu itu masing-masing berusaha pengaruhi pengundi. Sekarang ia adalah proses mantapkan parti dan melihat kaedah sebegini untuk pemimpin utama lihat reaksi akar umbi rancang strategi parti,” katanya.

Beliau diminta mengulas berhubung tindakan Pas membangkitkan semula isu muzakarah itu yang dianggap sebagai sandiwara oleh sesetengah pihak kerana perkara itu sudah banyak kali dibangkitkan sebelum ini.

Dalam pada itu, Mohd Khairie tidak menolak kemungkinan, kesediaan Pas itu mempunyai kaitan dengan hasrat mereka untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

“Pelaksanaan hudud ini memerlukan komitmen kerajaan Persekutuan. Dalam hal ini, jika hudud akhirnya tak dapat dilaksanakan, ia akan dikaitkan dengan keengganan Umno bermuzakarah dengan Pas. Ia menjejaskan pelaksanaan hukum ini,” katanya.

Bagi membuktikan keikhlasan Pas, beliau berkata, mereka perlu melaksanakan tindakan konkrit dengan membuat permohonan, menghantar perwakilan atau surat rasmi kepada Umno dan menyatakan agenda yang hendak dibincangkan.

“Ia lebih elok berbanding dengan buat kenyataan bersifat janji kosong. Kalau itu berlaku, baru kita nampak kejujuran dalam pelaksanaan ini.

“Untuk Umno, saya melihat, dulu idea muzakarah ditimbulkan mereka, tapi yang menariknya sekarang, idea ini ditimbulkan Pas pula. Paling seronok, kita nak tahu apa reaksi Umno dalam perhimpunan agung mereka bulan depan. Nanti kita boleh lihat sejauh mana pendirian kedua-dua parti terhadap idea ini,” katanya.

Mohd Khairie berpendapat, isu muzakarah yang dibangkitkan Pas itu untuk menyampaikan mesej tersirat kepada rakan komponennya, PKR dan DAP bahawa mereka komited meneruskan agenda Islam dan Melayu

http://www.sinarharian.com.my/muzakarah-strategi-kukuhkan-parti-1.224580
0 Komentar untuk "Muzakarah strategi kukuhkan parti"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI