BEBERAPA malam yang lepas, seorang pensyarah pengajian Islam dari salah sebuah Negara Teluk datang ke rumah saya. Beliau menjadi imam tarawih di tempat saya Dewan al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziah.
Selepas solat saya menjemputnya berbual dalam rumah saya. Ketika beliau memberitahu saya bahawa beliau mengajar pelajar-pelajar perempuan, saya bertanya apakah negaranya sudah membenarkan guru lelaki mengajar wanita secara berhadapan.
Dia kata, dia mengajar menggunakan perantaraan talian komunikasi, bukan secara langsung. Saya tanya kenapa?
Dia menjawab tidak wajar lelaki berhadapan dengan wanita secara langsung kerana itu membawa fitnah. Dia lalu membawa beberapa alasan dari hadis Nabi s.a.w untuk memperkukuhkan pandangan tersebut.

Jam sudah agak lewat ketika itu, saya mengambil langkah enggan berhujah panjang dengan tetamu saya itu. Apa nak hairan, macam itu mazhab kebanyakan ulama di negaranya.


Di negara kita pula sehari dua ini ada yang tidak puas hati dengan fatwa larangan wanita muslimah menyertai pertandingan ratu cantik.

Ada yang membantah kerana kononnya fatwa itu tidak demokratik dan menghalang hak wanita.

Hal ini dibangkit dan disokong oleh kumpulan ‘liberal tegar’ yang seperti biasa –sekalipun mungkin tidak mengaku- menjadikan Barat sebagai asas dalam penentuan hal ini.
Apabila kita sebut Barat, kita maksudkan pegangan awam yang menguasai cara fikir penentuan polisi di Barat. Kita tidak maksudkan agama Kristian.

Inilah masalah yang menghimpit pemikiran yang sederhana dan adil tentang wanita dalam Dunia Islam. 

Satu pihak yang begitu sempit tentang wanita sehingga menfardukan budaya setempat yang diberikan lebel agama ke atas wanita seperti yang berlaku di Pakistan dan beberapa negara Arab.

Di satu pihak lagi, golongan yang menuntut agar tafsiran agama diselaraskan dengan kehendak semasa di Barat.


Wanita Zaman Nabi

Dalam hadis yang banyak, pergaulan antara lelaki dan wanita di zaman Nabi s.a.w berlaku secara normal tetapi terhormat.

Tidak jumud seperti yang disangka oleh sesetengah pihak.

Sebab itu sahabiyat atau wanita muslimah pada zaman Nabi s.a.w terlibat membantu Nabi s.a.w dan tentera Islam dalam peperangan.

Mereka mengubati tentera yang cedera dan sebagainya. Bahkan ada yang terlibat langsung dengan peperangan. Umpamanya, semasa Peperangan Hunain, Umm Sulaim membawa khanjar (pisau belati) untuk menikam sesiapa yang menghampirinya.

Dalam hadis Muslim, suaminya iaitu Abu Talhah berkata kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah! Ini Ummu Sulain, bersamanya khanjar”.

Lalu Rasulullah berkata kepada Ummu Sulaim, “Khanjar apakah ini?”. Ummu Sulaim menjawab, “Aku bawa, jika ada musyrikin (musuh) yang menghampiriku nescaya aku belah perutnya dengan ini”.


Begitu juga Umm Haram, apabila dia telah mendengar Nabi s.a.w bersabda: “Tentera yang pertama dikalangan umatku yang berperang di laut wajiblah bagi mereka itu di syurga.” Kata Umm Haram: “Wahai Rasulullah s.a.w! Adakah aku termasuk dikalangan mereka?”

Jawab Baginda: “Ya!” Kemudian Baginda bersabda lagi: “Tentara yang pertama dikalangan umatku yang memerangi bandar Qaysar (Caesara) diampunkan dosa mereka.” Aku (Umm Haram) berkata: “Adakah aku dikalangan mereka, wahai Rasulullah?” Jawab Baginda: “Tidak!” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Sejarah mencatatkan, bahawa peperangan umat Nabi s.a.w yang pertama di laut ialah peperangan Cyprus.

Umm Haram telah menyertainya dan panglima tentera Islam dalam peperangan tersebut ialah Mu’awiyah ibn Abi Sufyan. Peperangan ini berlaku pada zaman pemerintahan Sayyidina ‘Uthman ibn ‘Affan.

Mu’awiyah yang menjadi amir ketika itu, turut serta ke medan peperangan bersama dengan isterinya (Ibn Hajar al-‘Asqalani, Al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/223, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah)


Wanita juga terlibat menghidangkan makanan kepada lelaki semasa majlis perkahwinan. Dalam hadis al-Bukhari, masa majlis walimah Abu Usaid al-Sa’idi, isteri beliau yang merupakan pengantin baru melayan hidangan untuk tetamu lelaki, termasuk Rasulullah s.a.w.

Terdapat juga riwayat di mana Rasulullah dan para sahabat pernah nampak isteri al-Zubair ibn al-‘Awwam iaitu Asma bin Abi Bakr yang sedang membawa benih tamar, lalu baginda menjemputnya untuk naik tunggangan baginda. Dalam riwayat al-Bukhari, Asma berkata: “Nabi s.a.w mendudukkan unta untuk aku menaikinya. Aku malu terhadap Nabi dan teringatkan pula sifat cemburu kamu (al-Zubair)”.

Terlalu banyak riwayat yang menunjukkan pergaulan secara terhormat berlaku antara lelaki dan perempuan pada zaman Nabi s.a.w dengan keizinan baginda dan bahkan penglibatan baginda sendiri kadang-kala.

Sopan

Pun begitu, hubungan lelaki dan wanita mempunyai batasan yang mesti dikawal.

Menutup aurat salah satu darinya.

Pakaian menutup aurat bukan sahaja disuruh oleh Islam bahkan dalam semua agama yang ada hubung kait dengan wahyu serta kenabian seperti Yahudi dan Kristian, sentiasa menganggap menutup kepala dan jasad secara sopan seperti yang dipakai oleh nun dalam Kristian adalah tuntutan.


Persamaan itu tidak pelik. Puasa juga Allah tegaskan (maksudnya) “seperti mana diwajibkan kepada mereka yang sebelum kamu”.(Surah al-Baqarah, ayat 183).

Persamaan bukan menunjukkan pengaruh yang salah seperti yang didakwa oleh kelompok anti-tudung kepala.

Dalam al-Quran Allah berfirman: (maksudnya)

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan jilbab (pakaian) mereka ke atas tubuh mereka; cara yang demikian untuk mereka lebih dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah al-Ahzab, ayat 59).

Maka, asas dalam fesyen pakaian seorang wanita muslimah hendaklah berteraskan pakaian yang memberikan gambaran yang pemakainya seorang wanita yang baik dan tidak membangkit nafsu lelaki dengan pendedahan, warna yang melampau, rekaan fesyen yang memberikan nilai yang negatif dan seumpamanya.

Juga firman Allah dalam Surah al-Nur ayat 31(maksudnya):

“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan (tubuh) mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”.

Berpandukan ayat ini pihak jumhur berhujah dengan dua perkara: pertama; maksud “kecuali yang zahir daripadanya” ialah wajah dan tapak tangan. 

Ini sama seperti yang ditafsirkan oleh Ibn `Abbas, Umm al-Mukminin`Aisyah, `Abdullah bin `Umar, Anas bin Malik, Abu Hurairah, al-Miswar bin Makhramah dan lain-lain.

Sementara kalangan ulama seperti Abu Hanifah memasukkan pergelangan kaki antara yang boleh didedahkan.

Dalam bahasa sekarang, tidak wajib memakai stokin. Kedua; ayat di atas menyatakan “dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”.

Ini bermaksud wanita diperintahkan agar tudung kepala mereka dilabuhkan sehingga menutup bahagian dada yang terdedah kerana belahan leher baju. Bahagian belahan leher yang mungkin mendedahkan dada dan sekitarnya itu perlu ditutup.


Inilah pakaian yang syarak tetapkan. Wanita muslimah patut mengetahui identiti mereka seperti yang disebut dalam ayat surah al-Ahzab tadi: ‘cara yang demikian untuk mereka lebih dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu’. Pakaian mempunyai nilai yang tersendiri dalam kehidupan masyarakat manusia.

Double Standard

Cuma mungkin ada yang keliru dengan fatwa yang dikeluarkan kerana hanya mengkhususkan pertandingan ratu cantik sedangkan ada lagi acara lain yang lebih terdedah seperti renang dan olahraga-olahraga lain.

Mengapa pula tiada fatwa yang menghalang mereka?! Jawapan mungkin kerana olahraga-olahraga itu mendapat sokongan kerajaan-kerajaan yang berkuasa.

Jika difatwa, mungkin tidak panjang ajal kontrak yang mengeluarkannya. Ataupun, seperti mazhab ulama muda sebuah pertubuhan politik, jika kesalahan kerajaan kita jangan bising, diam-diam bisik di telinga menteri sudahlah.

Orang lain, mereka bising habis-habisan. Ataupun, seperti kata tetamu Arab saya yang keras tentang wanita itu, ‘para ulama hari ini ramai yang bacul’. Saya rasa saya boleh bersetuju dengannya dalam bab itu.


Sukan olahraga yang ada boleh disertai jika penontonnya hanya wanita. Walaupun ada khilaf ulama tentang kadar aurat sesama wanita, namun jika diambil pendapat yang lebih luas maka ruang boleh diberikan kepada mereka.

Ataupun, mereka mengenakan suit yang tidak bercanggah dengan syarak. Maka, lelaki boleh melihat acara tersebut. Sekali lagi, walaupun ada pendapat yang sempit, kita memilih pendapat yang sederhana yang lebih memberi kemudahan dalam masa yang sama tidak lari dari nas-nas agama. Namun, tidaklah longgar sehingga melondehkan nas seperti golongan ‘liberal tegar’.


Dipetik dari blog Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)