Hugh Jackman
Hugh Jackman sebagai Wolverine
Hugh Jackman
Hugh Jackman
DI kalangan peminat seni, nama aktor kelahiran Sydney ini bukanlah asing.

Bahkan dia sudah sebaris dengan pelakon hebat seperti Tom Cruise, Johny Depp mahupun Vin Diesel.

Memulakan karier sekitar 1994, siapa sangka kewujudannya dalam bidang ini amat mudah sekali.

Ketika di akhir pengajiannya dia telah menerima panggilan telefon yang menawarkannya untuk berlakon dalam drama bersiri Correlli sebagai Kevin Jones.

Menariknya, kerana drama itu, dia juga berjumpa dengan isterinya kini, aktres Deborra-Lee Furness.

Dalam pada itu, selain terkenal menerusi dalam bersiri Correlli, pelakon berusia 44 tahun ini semakin mendapat tempat di hati pengarah.

Satu demi satu tawaran berlakon ditawarkan kepadanya sehinggalah dia menjadi sebutan di Hollywood.

Antara filem yang berjaya menaikkan namanya ketika itu adalah Erskineville Kings dan Paperback Hero.

Tidak hanya tertumpu kepada filem dan drama, empunya nama Hugh Michael Jackman atau nama layarnya, Hugh Jackman ini juga amat terkenal sebagai pelakon teater.


Kemunculan X-Men

Tidak perlu menunggu lama, kerana personaliti menarik dan karisma yang dimilikinya, Jackman telah ditawarkan memainkan peranan Logan atau Wolverine menerusi filem X-Men pada 2000.

Meskipun pada awal uji bakat, Jackman telah digesa Furness untuk menolak watak itu, namun siapa sangka itulah permulaan yang baik untuk karier seninya.

Kerana X-Men, nama pelakon yang pernah mendapat jolokan lelaki terseksi di dunia ini melonjak naik dan bertemu era kegemilangannya.

Akui Jackman, dia tidak sangka menjadi Wolverine membuatkan dia disukai dan mempunyai semakin ramai pengikut.

"Watak ini sangat kompleks, bukan mudah menggilap peranan atau karakter yang di luar jangkaan, namun sehingga kini, saya semakin selesa menjadinya," katanya menerima anugerah Saturn bagi kategori aktor terbaik pada tahun sama kerana watak ini.

Dek kerana keberkesanan wataknya, dia terus diberi kepercayaan menjadi Wolverine bagi empat sekuelnya iaitu X-Men: The Last Stand, X-Men Origins: Wolverine, X-Men: First Class dan terbaru X-Men: Days of Future Past.

Sementara itu, filem lain lakonan hebatnya termasuklah Van Helsing, Real Steel dan Les Miserables.

Di sebalik peranannya sebagai hero, suaranya juga sering digunakan bagi filem-filem animasi seperti Happy Feet, Flushed Away dan Rise Of The Guardians.


Wolverine kembali

Siapa sangka kemunculannya sebagai lelaki serigala (Wolverine) menerusi sekuel X-Men telah membuka mata pengarah untuk menghasilkan filem khas The Wolverine .

Lebih hebat, filem sentuhan pengarah James Mangold ini mengangkat kisah pengembaraan Wolverine semata-mata.

Jelas Jackman, dia sebenarnya sangat gembira kerana watak superhero ini mempunyai filemnya sendiri.

"Jika sebelum ini Wolverine hanya muncul dalam filem X-Men, tetapi kali ini, filem ini menceritakan kisahnya sahaja.

"Jadi, tumpuan penonton juga diberikan sepenuhnya kepada dia dan cabaran menjadi Wolverine kali ini juga adalah lebih besar.

"Saya yakin pasti penonton tidak sabar hendak melihat Wolverine beraksi sendiri," katanya.

Sedikit mengenai filem ini, ia berkisarkan Wolverine yang mengembara ke Jepun dan terpaksa berhadapan dengan musuh yang kejam.