Endot @ Azlan Yusof
Endot @ Azlan Yusof
BESUT – Calon Pas, Endot @ Azlan Yusof, 48, yakin menang, dengan beri gambaran jelas beliau mampu tewaskan calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Walaupun calon Pas pada PRU13 lalu, Napisah Ismail kalah dengan majoriti cukup besar kepada calon BN, Endot atau lebih dikenali Che Long seolah-olah tidak menganggapnya halangan merealisasikan hasrat parti.

Bendahari Pas Kawasan Besut berumur 48 tahun itu turut menunjukkan sikap positif dengan memikirkan kemenangan sebagai laluan kejayaan untuk merebut kerusi N01.

“Biasalah, apabila kita berlawan, apabila kita ‘fight’, kita kena yakin dulu kita akan menang. Insya-ALLAH, Tuhan akan beri kemenangan kepada kita,” katanya selepas Ceramah Perisytiharan Calon Pas di Kampung Nail, Kuala Besut, semalam.

Pada masa sama, beliau akan bergerak mendekati rakyat dengan moto ‘Sedia Berkhidmat’ sepanjang kempen.

Pengumuman calon dibuat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang jam 11.52 malam semalam.

Pengumuman itu turut mengakhiri spekulasi calon Pas yang akan bertanding melawan calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman yang turut diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam majlis pengumuman calon BN pada sebelah petang, hari yang sama.

Endot yang juga Bendahari Pas Kawasan Besut merupakan Kontraktor Kerja Bangunan dan Kejuruteraan Awam berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta mempunyai Sijil Kontraktor Institut Latihan Perindustrian.