http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2013/6/27/mstar_berita/20130627162005&sec=mstar_berita
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat terus mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendedahkan nama syarikat yang membekalkan dakwat kekal digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kerana mendakwa syarikat tersebut gagal menyediakan dakwat berkualiti.
Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke berkata, SPR dan kerajaan juga sepatutnya mengambil tindakan undang-undang terhadap pembekal tersebut dan menuntut ganti rugi kerana bahan tidak mematuhi spesifikasi.
Menurutnya, alasan demi alasan yang diberikan SPR seolah-olah menggambarkan badan tersebut cuba melindungi syarikat tersebut dan ia tidak langsung menimbulkan pelbagai persepsi negatif.
“Alasan SPR tidak mendedahkan nama syarikat itu atas sebab keselamatan tidak boleh diterima, kita sudahpun selesai mengadakan PRU-13.
"Bagaimanakah maklumat pembekal dakwat kekal itu boleh menimbulkan masalah keselamatan?” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen pada Khamis.
Selain itu, Anthony turut mempertikaikan kos dakwat kekal yang digunakan pada PRU-13 adalah sebanyak RM7.1 juta sedangkan pada PRU-12 lalu, kos pembelian adalah RM2.4 juta namun dimusnah selepas tidak digunakan pada PRU tersebut.
Katanya, peningkatan kos ini adalah tidak logik kerana pada PRU-12, jumlah pengundi adalah 10,922,139 manakala pada PRU-13 adalah seramai 13,268,002 orang, pertambahan kira-kira 20 peratus.
“Mengapakah pertambahan pengundi sebanyak 20 peratus boleh menyebabkan peningkatan kos dakwat kekal dari RM2.4 juta kepada RM7.1 juta, peningkatan tiga kali ganda?
“Mengapa perbezaan kos ini begitu ketara? Bagaimana kerajaan boleh membeli dakwat kekal yang tidak kekal untuk pilihan raya, ia menjadi bahan ketawa seluruh dunia,” katanya.
Pada Rabu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kesan ketahanan penggunaan dakwat kekal adalah bergantung kepada individu dan usaha yang dilakukan bagi tujuan menghilangkan dakwat kekal itu.
Beliau berkata ujian yang dibuat ke atas pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya dan pekerja media pada 2 Mei lepas membuktikan dakwat itu kekal seperti yang ditetapkan.
Shahidan berkata dakwat itu antara lain dihasilkan dengan menggunakan bahan pewarna makanan yang diluluskan.
Menurutnya, kos keseluruhan penggunaan dakwat kekal dalam PRU-13 ialah RM7.1 juta yang meliputi pelbagai proses.
0 Komentar untuk "Pakatan Rakyat Desak SPR Dedah Nama Syarikat Pembekal Dakwat Kekal"