SUKAN : KHAMIS 02 JULAI 2009 - Nizar patut lepas jawatan Presiden PAFA - Zambry - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

SUKAN : KHAMIS 02 JULAI 2009 - Nizar patut lepas jawatan Presiden PAFA - Zambry

Nizar, letak jer jawatan. Bola sepak buat masa sekarang tak penting. Jangan bebankan pihak lain dengan masalah politik


Nizar patut lepas jawatan Presiden PAFA - Zambry

IPOH - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sepatutnya meletakkan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) setelah para pemain skuad Seladang tidak dibayar gaji mulai bulan lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, ia merupakan langkah terbaik bagi membolehkan persatuan itu diambil alih oleh pihak yang lebih berkemampuan.

''Saya sebenarnya tidak tahu masalah ini sehingga diberitahu anda (wartawan). Saya akan arah Exco Belia dan Sukan, Zainol Fadzi Paharuddin lihat dan kaji masalah itu.

''Kalau macam itu saya rasa beliau (Nizar) patut letak jawatan Presiden PAFA. Tapi tak tahulah kalau dia nak lagi jawatan itu kerana rasa masih lagi menjadi Menteri Besar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, semalam.

Menurut sumber dalaman PAFA, para pemain Perak yang semuanya terdiri daripada pemain muda tempatan menerima gaji terakhir pada Mei.

Mereka yang kini 'kekeringan' masih lagi meneruskan perjuangan dalam Liga Super tetapi menerima tamparan hebat apabila tewas kepada Johor FC 0-3 di Ipoh malam semalam.

Nizar yang memegang jawatan Presiden PAFA sejak November 2008 akan kekal dengan jawatan berkenaan hingga November 2010 kecuali meletak jawatan secara sukarela.

Bagaimanapun, para pemain Perak harus menarik nafas lega kerana Zambry sudah memberi jaminan akan membantu menyelesaikan masalah yang sedang mereka hadapi.

Ini kerana, sukan bola sepak amat diminati oleh penduduk negeri ini dan mereka amat menyayangi pasukan Seladang yang berjaya mencatat pelbagai kejayaan sebelum ini.

''Kita (kerajaan negeri) akan tolong...mana boleh kita biarkan keadaan macam itu berlaku," kata Zambry yang jelas sekali mahu melihat pasukan bola sepak Perak bangkit meraih kejuaraan pada masa akan datang.




Kewangan Perak kini makin tenat

Oleh Mohd Fadzrie Hazis
fadzrie@bahrian.com.my


Nizar diminta lepas jawatan Presiden Pafa

PETANDA betapa parahnya situasi kewangan yang membelenggu kancah Liga Malaysia kian ketara apabila Perak pula menjadi pasukan terbaru menghantar isyarat 'SOS' kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Seri Nizar Jamaluddin hadir ke Wisma FAM dan mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.

Namun, tidak seperti dua pasukan sebelum ini - Perlis dan UPB-MyTeam - yang mengancam mahu menarik diri daripada saingan Piala Malaysia, musim ini, Perak tidak berdepan masalah untuk menamatkan saingan musim ini.

Nada bimbang Pafa lebih terarah kepada belanjawan musim depan dan juga belenggu bayaran tertunggak gaji pemain serta jurulatih musim lalu, Steve Darby yang setakat ini masih belum dilunaskan.

"Ya, saya berjumpa dengan Nizar pagi tadi (semalam) dan dia menyuarakan kebimbangan berhubung kewangan Pafa untuk menghadapi saingan Liga-M, musim depan, serta ingin mendapatkan apa saja bantuan kewangan yang boleh diberi FAM.

"Saya minta Nizar menghantar surat berhubung perkara ini dan ia akan disampaikan sendiri kepada Presiden FAM (Sultan Ahmad Shah).

"Memang sudah terdapat beberapa pasukan lain yang turut memohon bantuan FAM, tetapi sukar jika mereka hanya bergantung kepada FAM dan setiap negeri dan kelab juga perlu meningkatkan usaha memperbaiki keadaan kewangan mereka," kata Azzuddin yang ditemui pada majlis pelancaran Piala Selangor di Shah Alam bagi perlawanan menentang kelab Indonesia, Persib Bandung pada 31 Julai ini.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir minta Nizar melepaskan jawatan Presiden Pafa untuk membuka laluan kepada individu lain menerajui persatuan berkenaan.

Zambry berkata kedudukan kewangan persatuan kini tenat dan wajar seorang pemimpin yang mampu menangani masalah berkenaan dibenarkan menerajui persatuan itu.
0 Komentar untuk "SUKAN : KHAMIS 02 JULAI 2009 - Nizar patut lepas jawatan Presiden PAFA - Zambry"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI