LIGA SUPER ISNIN 29 JUN 2009 : 'Perlu menang semua perlawanan' - SELANGOR - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

LIGA SUPER ISNIN 29 JUN 2009 : 'Perlu menang semua perlawanan' - SELANGOR

'Perlu menang semua perlawanan'

KUALA LUMPUR - Selepas mencatat keputusan seri 0-0 menentang Perlis di Stadium Utama Kangar, Selangor bertekad untuk mengutip mata maksimum dalam baki lima perlawanan Liga Super untuk muncul juara musim ini.

Menurut jurulatihnya, K. Devan, mereka tidak mahu terlalu bergantung kepada keputusan perlawanan lain untuk muncul juara, semuanya bergantung kepada pemain dan pasukan Selangor sendiri.

"Kami tidak mahu memikirkan tentang keputusan perlawanan lain, ia terletak di bahu kami sendiri untuk terus fokus memenangi perlawanan seterusnya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, lima perlawanan terakhir sangat penting buat mereka dan akan menentukan sama ada kejuaraan Liga Super ini akan kembali semula ke Selangor.

"Kami mempunyai tiga lagi perlawanan di tempat sendiri bertemu KL PLUS, Kuala Muda Naza dan pasukan yang tengah bergelut di dalam liga, Pahang sementara perlawanan di gelanggang lawan pula menentang UPB-MyTeam dan PDRM.

"Melihat kepada lima lawan yang bakal kami tempuhi nanti, kami sepatutnya mempunyai peluang yang terbaik untuk mengumpul mata maksimum," katanya.

Kata Devan, perlawanan menentang KL Plus di Stadium Shah Alam esok akan menyaksikan kesebelasan pemain utama menjadi sandaran bagi memungut tiga mata.

"Selepas seri dalam perlawanan menentang Perlis semalam (kelmarin) di Kangar, harapan saya hanya terletak kepada kekuatan fizikal yang dimiliki setiap pemain, di mana ia adalah sangat penting sekarang.

"Pemain saya mempunyai beberapa peluang ketika menentang Perlis tetapi gagal menyudahkannya," kata bekas jurulatih Kuala Muda Naza dan Negeri Sembilan itu.

Walaupun mencatat keputusan seri tanpa jaringan, dia amat gembira menyaksikan Selangor berjaya mencuri satu mata dalam perlawanan tersebut.

"Sekurang-kurangnya kami berjaya memungut satu mata dan masih lagi berada di tangga teratas liga kerana ia sangat penting untuk mencapai sasaran muncul juara musim ini," kata Devan.

0 Komentar untuk "LIGA SUPER ISNIN 29 JUN 2009 : 'Perlu menang semua perlawanan' - SELANGOR"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI