SUKAN : RABU 20 MEI 2009 - KEPUTUSAN LIGA SUPER - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

SUKAN : RABU 20 MEI 2009 - KEPUTUSAN LIGA SUPER

Perlis kukuh cengkaman Liga Super
Oleh Hussain Said, Fazallah Pit, Harris Rajahdin, Bashah Zainol Abidin dan Asrol Awang
bhsukan@bharian.com.my

PERLIS terus gah menambah koleksi kemenangannya dalam saingan Liga Super dan malam tadi, skuad Singa Utara menundukkan Kelantan 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pelawat sudah berada di depan seawal minit ketujuh hasil jaringan K Soley selepas dia merampas bola daripada Mohd Azlan Zainal sebelum meluru masuk ke kotak penalti untuk melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol Kelantan, Mohd Shahrizan Ismail.

Tiga minit selepas itu, Kelantan menyamakan kedudukan menerusi Indra Putra Mahayuddin yang mudah menolak masuk hantaran lintang Mohd Nor Farhan sebelum Zuraidey Jumai, memanfaatkan bola yang muntah untuk gol kedua Perlis pada minit ke-41.

Di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang tidak mampu menyekat kemaraan Selangor apabila tewas 0-1 bagi membolehkan anak didik K Devan terus mengekori rapat Perlis.

Selangor terpaksa menunggu sehingga minit ke-56 untuk membolosi benteng tuan rumah yang ketika ini menghuni tangga ketiga dari dasar liga apabila tendangan lencong Safee Sali menewaskan penjaga gol Pulau Pinang, Khairul Iskandar Ismail.

Perlis kini mengumpul 38 mata, mengekalkan kelebihan satu mata mengatasi Selangor yang mengekori rapat di belakang mereka.

Di Stadium Darulmakmur, Pahang mencipta kejutan apabila menjinakkan Negeri Sembilan 1-0 hasil jaringan Mohd Azamuddin Akil, pada minit ke-84 tetapi keputusan itu tidak mengubah kedudukan negeri Pantai Timur itu di tangga ke-13.

Sementara itu, Polis terikat 1-1 dengan KL Plus di Stadium Tunku Abd Rahman, Paroi, manakala KM Naza tewas kepada MyTeam 1-2 di Stadium Darulaman.




Perlis terus berkuasa


Penyerang Kelantan, Indra Putra Mahayuddin (kanan) diasak pemain Perlis, Chan Wing Hoong di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi. - UTUSAN/Mohd. Nazudeen Mahmud.


KUALA LUMPUR - Perlis terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Liga Super apabila menewaskan Kelantan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Kedua-dua gol pasukan pelawat yang disumbang K.Soley dan Zuraindey Jumai manakala gol tunggal Kelantan dijaringkan Indra Putra Mahayuddin.

Kelantan yang masih belum mencatatkan kemenangan sejak tewas pada perlawanan akhir Piala FA kepada Selangor bulan lepas gagal menggunakan kesempatan beraksi di tempat sendiri.

Corak permainan pantas dipamerkan kedua-dua pasukan sejak sepak mula dengan masing-masing saling berbalas serangan.

Perlis terlebih dahulu memperoleh peluang membuka jaringan pada minit keempat namun rembatan Ahmad Shazwan Zainol tepat ke dakapan penjaga gol Kelantan, Sharizan Ismail.

Selang seminit kemudian Kelantan pula mendapat peluang untuk berada di depan namun rembatan Norfarhan Mohamad yang memperoleh hantaran dari Indra tersasar tatkala penjaga gol Perlis, Farizal Marlias yang meluru keluar sudah tertewas.

Pasukan Singa Utara akhirnya memperoleh gol pertama pada minit ketujuh apabila Soley menghukum kesilapan pertahanan Kelantan, Ahmad Azlan Zainal yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya menerusi rembatan jarak dekat.

Kelantan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-19 apabila Norfarhan melakukan hantaran pendek dalam petak penalti kepada Indra yang tidak teragak-agak melakukan rembatan deras menewaskan Farizal.

Wira Merah hampir menambah gol kedua pada minit ke-35 tetapi sepakan Indra dari sudut sukar di sebelah kanan pintu gol Perlis berjaya ditepis keluar Farizal.

Empat minit sebelum babak pertama tamat, Perlis memperoleh gol kedua apabila Sharizan gagal menangkap kemas bola sepakan percuma Fauzie Nan membolehkan Zuraindey Jumai yang tidak dikawal menolak mudah bola ke dalam gawang.

Pada separuh masa kedua Kelantan mengasak bertubi-tubi ke gawang Perlis namun gandingan pertahanan, Fauzie dan Amzar Junaidi Abd. Jalil kental bertahan.

Pada minit ke-60 Kelantan memperoleh peluang untuk menjaringkan gol apabila sepakan percuma yang diambil Azlan menuju tepat kepada Norfarhan namun rembatan pemain kelahiran Terengganu itu tepat ke arah Farizal.

Pasukan di tangga kedua liga, Selangor pula dipaksa berhempas pulas sebelum menang tipis 1-0 ke atas Pulau Pinang di Stadium Bandaraya.

Kemenangan hasil jaringan Safee Sali (m-56) itu membolehkan skuad bimbingan K. Devan terus menekan Perlis dalam perebutan takhta liga.

Negeri Sembilan pula mempersia-siakan peluang melonjak ke tangga ketiga liga apabila tewas mengejut kepada pasukan kedua tercorot, Pahang 1-0 di Stadium Darul Makmur.



Selangor menang tipis

PULAU PINANG - Selangor sekadar menang tipis 1-0 selepas diberi tentangan sengit oleh skuad tuan rumah dalam Liga Super di sini, semalam.

Namun begitu, skuad Gergasi Merah bimbingan K. Devan itu terpaksa berhempas pulas untuk mendapat tiga mata penuh setelah mendapat tentangan hebat daripada pasukan Harimau Kumbang.

Kehadiran semula Hardi Jaafar setelah digantung satu perlawanan, Sabtu lalu di Stadium Shah Alam sedikit sebanyak menyuntik semangat juara Piala FA itu.

Tewas pada perlawanan semalam bagaimanapun tidak menghalang anak didik S. Veloo mendapat pujian kerana berjaya memberi tentangan hebat di hadapan kira-kira 3,000 orang penyokong sendiri.

Babak pertama lebih banyak menyaksikan Pulau Pinang menguasai permainan dengan serangan bertali arus tetapi gagal dalam cubaan memecah kebuntuan di depan gol pasukan lawan.

Selangor yang disajikan corak permainan menyerang lawan, bagaimanapun mengejutkan tuan rumah dengan jaringan Mohd. Safee Sali minit ke-56 selepas menewaskan dua pertahanan Pulau Pinang.

Permainan kemudian menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun gagal mengubah keputusan permainan sehingga wisel penamat.
0 Komentar untuk "SUKAN : RABU 20 MEI 2009 - KEPUTUSAN LIGA SUPER"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI