Zaman Khan Nafi Tandatangan Deklarasi Singkir PM - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Zaman Khan Nafi Tandatangan Deklarasi Singkir PM

KUALA LUMPUR: Pengerusi Biro Integriti Majlis Perundingan Melayu (MPM) Tan Sri Mohd Zaman Khan Rahim Khan menafikan sekeras-kerasnya menandatangani deklarasi menyokong penyingkiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

Beliau melahirkan rasa terkejut apabila mendapati namanya tersenarai antara mereka yang menandatangani deklarasi tersebut, yang disiarkan media.

"Untuk mengatakan saya berpihak kepada mereka yang menandatangani deklarasi itu dan akan berarak menentang kerajaan, saya menafikan sekeras-kerasnya...saya tidak terlibat," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia itu ditemui di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia kerana sedang mendapatkan rawatan akibat pendarahan dalam perut sejak Isnin lepas.

Mengulas lanjut, Mohd Zaman Khan, 73, berkata beliau dimaklumkan namanya tersenarai dalam deklarasi tersebut oleh Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali.

Mohd Zaman Khan berkata beliau menemui Ibrahim beberapa hari lepas yang melawatnya di pusat perubatan berkenaan.

Namun katanya mereka berbual tentang masalah kesihatannya dan tidak langsung menyentuh mengenai isu menyokong penyingkiran Najib.

Semalam, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai kumpulan lebih 50 orang - termasuk Lim Kit Siang daripada DAP dan Menteri Besar Selangor Datuk Mohamed Azmin Ali daripada PKR - dalam memeterai deklarasi menyokong penyingkiran Najib sebagai perdana menteri.

Penandatangan lain termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik. -- Bernama

0 Komentar untuk "Zaman Khan Nafi Tandatangan Deklarasi Singkir PM"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI