Seleweng Dana: Pasukan Siasatan Bebas Semak Mekanisme, Tadbir Urus KBS - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Seleweng Dana: Pasukan Siasatan Bebas Semak Mekanisme, Tadbir Urus KBS

PUTRAJAYA: Pasukan siasatan bebas akan ditubuhkan untuk menyemak mekanisme dalaman dan proses tadbir urus berkaitan penyaluran dana di Kementerian Belia dan Sukan, kata Menterinya, Khairy Jamaluddin.

Ia susulan penahanan seorang pegawai kanan KBS pada Jumaat lalu yang disyaki terlibat dalam isu penyelewengan dana kerajaan mencecah lebih RM100 juta.

Khairy berkata, penubuhan pasukan siasatan bebas itu akan dilakukan Ketua Setiausaha Negara (KSN) tanpa melibatkan pegawai KBS.

Katanya, objektif utama pasukan itu adalah untuk memperbaiki kelemahan proses dalaman yang boleh menjurus kepada penyelewengan dana awam.

"Saya tegaskan pasukan siasatan yang akan ditubuhkan untuk melihat ‎pada prosuder mesti datang daripada KSN, pegawai terlatih, tiada pegawai dari KBS.

"Saya serahkan kepada pasukan bebas ‎yang akan ditubuhkan KSN untuk buat siasatan rapi," katanya pada sidang media di KBS, pagi Isnin.

Sabtu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia  (SPRM) mendedahkan seorang setiausaha bahagian di sebuah kementerian ditahan pada Jumaat lalu selepas disyaki terlibat dalam kegiatan sindiket penyalahgunaan dana kerajaan mencecah lebih RM100 juta.

Khairy berkata, pasukan siasatan bebas itu boleh ditubuhkan tanpa perlu menunggu hasil siasatan SPRM sepenuhnya.

"Untuk penambahanbaikan prosedur, sebagai langkah proaktif, saya telah berbincang dengan KSN, kita tak payah tunggu hasil siasatan SPRM sepenuhnya, kita boleh mula dengan siasatan pasukan bebas khas dalam prosedur dalaman KBS yang mungkin dimanipulasi oleh suspek," katanya.

Mengenai kes itu, Khairy berkata: "Sudah tentu kes ini memberi impak negatif kepada kementerian, tetapi apa yang penting adalah apa yang kita akan buat untuk mengatasinya."

Mengulas lanjut, beliau percaya rakyat mahu melihat apakah tindakan kerajaan.

"Jadi, ada dua tindakan, pertamanya di luar bidang kuasa KBS  kerana melibatkan tindakan undang-undang di bawah SPRM tetapi kita akan membantu sepenuhnya, dan keduanya mekanisme dalaman," ujar Khairy.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki pada sidang media Sabtu lalu berkata, modus operandi sindiket ialah mengarahkan pihak kewangan sebuah agensi di bawah kementerian itu membuat bayaran kepada tidak kurang 14 syarikat yang dikendalikan oleh ahli-ahli sindiket bagi mewujudkan program tetapi kerja-kerja tidak pernah dilaksanakan.

Kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan.

Siasatan dijalankan di bawah kesalahan rasuah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan kesalahan penggubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

0 Komentar untuk "Seleweng Dana: Pasukan Siasatan Bebas Semak Mekanisme, Tadbir Urus KBS"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI